Instagram merupakan salah satu aplikasi yang sangat popular di kalangan pengguna peranti mudah-alih, di mana ia sering digunakan untuk tujuan perkongsian gambar dan juga video. Walaupun begitu, kemampuan memuat-naik gambar atau video ini hanya boleh dilakukan melalui aplikasi pada peranti mudah-alih sahaja. Versi desktop terhad dengan ciri membalas dan menghantar mesej, lihat Stories, suka dan ikut pengguna lain dan ciri asas lain sahaja.
Bulan lepas, Instagram dilihat menguji kemampuan memuat-naik ini daripada desktop. Akhirnya, ciri ini dilihat sudah diedarkan oleh Instagram dan pengguna boleh mula memuat-naik gambar atau video secara terus melalui laman instagram.com. Buka sahaja laman web Instagram, anda akan lihat ikon “+” untuk mencipta dan berkongsi siaran terus daripada komputer.
Tekan ikon tadi, kemudian tekan Pilih Daripada Komputer, pilih saiz gambar yang ingin dikongsi, tekan seterusnya, pilih penuras atau sunting terlebih dahulu, kemudian anda juga boleh mengetag pengguna lain dan isikan kapsyen atau tambah lokasi. Akhir sekali, tekan butang Kongsi. Anda akan dibawakan kepada skrin Memuat Naik dengan ikon bulat bergerak berwarna-warni bertemakan ikon Instagram dan mesej Siaran anda telah dimuat naik akan dipaparkan.
Ciri ini dilihat diedarkan kepada beberapa pengguna sahaja dan belum diedarkan secara lebih meluas.