Softbank Dilaporkan Menghentikan Pengeluaran Robot Pepper Selepas Menstruktur Semula Bahagian Robotik

Diterbitkan pada Jun 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pepper ialah robot yang dilancarkan oleh bahagian robotik Softbank pada tahun 2014 dengan impian ia menggantikan penyambut tamu, menawarkan bantuan kepada pelancong dan menjaga warga emas yang kesepian. Tetapi menurut laporan Reuters pagi ini, pengeluaran Pepper telahpun dihentikan oleh Softbank dengan syarikat sedang menstruktur semula bahagian robotik mereka.

Dalam laporan yang sama, 330 kakitangan robotik Softbank di Perancis turut dilaporkan telah dibuang kerja pada September tahun lalu. Penggantungan pengeluaran Pepper tidak mengejutkan penganalisa kerana minggu lalu secara rasmi Softank menjual 80% pegangan mereka dalam Boston Dynamic kepada Hyundai.

Softbank dilihat seperti sedang cuba mengurangkan pelaburan dalam dunia robotik yang menjanjikan pelbagai impian menarik tetapi sehingga kini gagal memenuhinya. Selepas tujuh tahun, hanya 27,000 unit Pepper berjaya dijual. Jauh lebih rendah dari impian asal untuk ia menggantikan pekerja manusia dan mampu menjadi penjaga bayi di rumah.

Walaupun sudah berusia tujuh tahun, penggunaan Pepper di luar Jepun masih lagi kecil. Di Jepun kami melihat sendiri ia membantu penumpang Bullet Train mencari platform yang betul untuk ke destinasi. Selain itu ia turut digunakan di bank dan pernah ditawarkan sebagai pengganti paderi untuk membaca doa ketika majlis pengebumian di Jepun. Tahun lalu ia turut menggantikan manusia untuk bersorak ketika acara sukan di stadium.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami