Kami di Amanz sebelum ini pernah melaporkan mengenai perancangan Samsung untuk hadir dengan sebuah lagi peranti di bawah siri Galaxy F – iaitu Samsung Galaxy F22. Tidak lama kemudian, pelbagai spekulasi mengenainya mula muncul termasuklah ada yang mendakwa ia hanyalah sebuah Samsung Galaxy A22 yang dijenamakan semula.
Dalam perkembangan terkini, Samsung Galaxy F22 dilihat telah mula tersenarai di laman Flipkart. Penyenaraian bukan sahaja memperlihatkan sejumlah spesifikasi pada peranti. Sebaliknya, turut mendedahkan tarikh pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai ini.
Samsung Galaxy F22 akan dilengkapi skrin bersaiz 6.4-inci Super AMOLED dengan resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz. Ia juga dilihat menampilkan rekaan panel hadapan bertakuk kecil bersama binaan dagu yang agak tebal. Pada panel belakang pula, ia menampilkan sensor utama 48-Megapixel yang diikuti dengan tiga lagi kamera yang mungkin bertujuan untuk lensa sudut-lebar, makro dan kedalaman. Melengkapinya juga adalah bateri berkapasiti 6000mAh yang lebih besar berbanding sokongan pada Galaxy A22 sebelum ini.
Buat masa ini, itu sahaja informasi yang diperoleh menerusi laman web berkenaan. Untuk lain-lain spesifikasi, peranti ini dipercayai hadir dengan cip MediaTek Helio G80, memori 4GB RAM dan menjalankan sistem operasi Android 11 dengan pelancar OneUI 3.0. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan penawaran lebih lanjut sewaktu pelancaran rasmi kelak.
Sumber : Flipkart