Carian
Facebook Cloud Gaming Yang Ditawarkan Percuma Kini Menerima Sokongan Permainan Ubisoft
July 2, 2021 Effi Saharudin

Oktober tahun lalu Facebook Cloud Gaming dilancarkan di beberapa negeri di Amerika Syarikat. Ia adalah sebuah lagi platform penstriman permainan awanan yang membolehkan pengguna menikmati permua kegemaran di pelbagai platform asalkan mereka mempunyai sambungan Internet. Hari ini Facebook mengumumkan Facebook Cloud Gaming akan ditawarkan ke 98% kawasan di Amerika Syarikat sebelum ke peringkat global.

Facebook Cloud Gaming adalah agak unik kerana ia tidak memerlukan sebarang langganan dan boleh dimainkan secara percuma menerusi tablet, komputer riba dan telefon pintar. Model perniagaan yang berbeza dengan Xbox Cloud dan Stadia. Serentak engan pengumuman ini, Facebook turut mendedahkan platform ini akan turut menyokong permainan dari Ubisoft. Antara yang terawal ditawarkan ialah Assassin’s Creed Rebellion, Hungry Shark Evolution, Hungry Dragon, Mighty Quest dan Trials Frontier.

Setakat ini sebanyak 25 permua boleh distrim seperti Roller Coaster Tycoon Touch, Lego Legacy Heroes Unboxed, Dragon Mania Legends dan State of Survival. Pelancaran seterusnya ialah di Kanada dan Mexico sebelum penawaran ke seluruh benua Eropah pada awal 2022. Adakah platform penstriman permainan video akan membuatkan anda kembali kepada Facebook?

Komen