Carian
Realme GT 5G Dengan Snapdragon 888 Kini Disenaraikan Pada Harga RM1849
July 3, 2021 Aman

Realme sedia mempunyai kedai atas-talian rasmi di Shopee, dan kini turut mempunyai satu lagi variasi kedai Realme AIOT yang menawarkan produk daripada China terus ke pasaran Malaysia melalui Shopee.

Untuk makluman, pihak Xiaomi sedia melakukan perkara sama sejak sebelum ini, dimana produk dari China ditawarkan terus di Malaysia – dan disokong dengan jaminan setahun. Realme dilihat melakukan perkara sama, sekaligus mempercepatkan lagi penawaran produk mereka untuk pasaran tempatan.

Menariknya, melalui kedai berkenaan, salah satu produk baharu yang kini disenaraikan adalah Realme GT 5G.

Realme GT telah diperkenalkan pada 15 Jun lepas, dan kini nampaknya ia telah disenaraikan untuk dibeli pengguna tempatan bersempena jualan 7.7 akan datang.

Realme GT hadir dengan skrin 6.43-inci dengan kadar segar semula 120Hz, cip Snapdragon 888, memori sehingga 12GB RAM, dan storan 256GB. Melengkapkan ia juga adalah bateri sebesar 4500mAh.

Telefon pintar ini turut hadir dengan sensor rakaman utama 64-megapixel, selain turut melengkapkan ia dengan pengimbas cap jari pada skrin, serta bicu audio 3.5mm.

Mengikut penyenaraian di Shopee, Realme menawarkan dua variasi spesifikasi peranti global untuk Realme GT 5G. Model 8GB RAM dengan 128GB storan ditawarkan pada harga RM1849, sementara variasi 12GB RAM dengan 256GB ditawarkan pada harga RM2095. Penyenaraian melalui kedai rasmi di Shopee Mall ini turut menjanjikan pulangan dan gantian dalam tempoh 7 hari, selain jaminan selama setahun.

Pada harganya, adakah anda akan mendapatkan telefon pintar mercu Realme ini?

Komen