Cari @ Amanz

Walaupun Google sudah mempunyai Google Duo, iaitu perkhidmatan panggilan video tersendiri mereka – Google dilihat memberi fokus lebih kepada Google Meet iaitu perkhidmatan telesidang mereka yang lebih ramai gunakan. Ia adalah seperti Microsoft yang fokus kepada Teams, tetapi melupakan Skype.

Seperti biasa, Google terkenal dengan sikap membunuh projek sendiri. Ada ura-ura sebelum ini menyatakan Google Duo akan dimatikan dan Meet adalah fokus utama. Terkini, Google dilihat menambah ciri Google Duo kepada Google Meet iaitu penuras, topeng dan pelekat beranimasi untuk sesi telesidang. Ini bermakna, Google Meet juga sesuai digunakan untuk penggunaan ringan dan bersahaja – tidak terhad kepada penggunaan kerja sahaja.

Ciri ini dilihat ditawarkan kepada pengguna Google Meet di Android dan iOS, namun iPhone dan peranti Android yang saya gunakan masih tidak menerima ciri ini. Sama ada Meet pada GMail atau aplikasi tersendiri, kedua-dua masih tidak menyertakan ciri ini. Ia mungkin diedarkan secara berperingkat. Dengan penambahan ciri ini, adakah anda akan buang Duo dan guna Meet? Atau menggunakan kedua-duanya sekali?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd