Cari @ Amanz

Sony memegang pasaran sensor kamera dunia sekarang dengan teknologi mereka digunakan pada kamera digital, telefon pintar, kamera aksi, dron dan banyak lagi. Tahun lalu sensor Sony IMX500 telah dilancarkan dengan sistem kecerdasan buatan terbina. Kini Sony mengumumkan sensor IMX500 telah digunakan pada kamera litar tertutup pintar di bandaraya ROM.

Rangkaian kamera pintar ini sentiasa memerhati dan menganalisa situasi seperti cuaca, orang ramai, trafik, kemalangan dan juga kawasan parkir. Sebagai contoh ia boleh digunakan untuk melihat pondok bas dipenuhi orang ramai ataupun tidak. Apabila ini dikesan, sistem akan memberikan saranan kepada pusat kawalan untuk meningkatkan frekuensi bas ke kawasan tersebut.

Kemalangan juga boleh dilaporkan serta merta dengan bantuan diberikan dan kawalan trafik dilakukan secara masa nyata. Apabila mengesan kawasan parkir penuh pula, penduduk ROM boleh menerima saranan kawasan parkir berdekatan yang masih mempunyai ruang kosong.

Yang membuatkan sensor IMX500 menarik ialah ia melakukan kesemua analisa ini tanpa merekod video yang dihantar kepada pusat kawalan. Ia hanya menganalisa apa yang sedang berlaku dan menghantar data meta sahaja untuk diambil tindakan. Ini akan mengurangkan kegusaran privasi penduduk sentiasa dipantau seperti yang berlaku di China.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd