Google Dilaporkan Terancam Dengan Kedai Aplikasi Samsung Galaxy Store, Dan Cuba Mengawalnya

Diterbitkan pada July 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google semalam sedia disaman oleh 36 kerajaan negeri disebabkan oleh monopoli terhadap kedai aplikasi Play Store. Lanjutan daripadanya, kini informasi lanjut hadir berkaitan dengan perbincangan Google dan Samsung berkaitan dengan kedai aplikasi.

Galaxy Store

Menurut dokumen perbicaraan, Google dilihat menawarkan Samsung sejumlah kelebihan dalam mengekang Samsung mempromosikan Galaxy Store secara meluas.

Untuk makluman, Galaxy Store merupakan kedai aplikasi yang hadir terbina pada peranti keluaran Samsung. Namun, Samsung kurang mempromosikan kedai aplikasi mereka tersendiri.

Google dikatakan rasa terancam apabila Samsung mula mengemaskini kedai aplikasi Samsung Galaxy Store mereka. Tidak mustahil sekiranya Samsung benar-benar memberikan fokus terhadap kedai aplikasi mereka, ia mungkin menjadi antara kedai aplikasi alternatif yang besar – apatah lagi dengan angka pengguna peranti Samsung yang tinggi di dunia.

Beberapa kaedah dikatakan digunakan oleh Google untuk mengekang kejayaan kedai aplikasi lain, termasuk menyediakan penawaran khusus untuk pengeluar peranti – disamping menyediakan ganjaran kepada penerbit aplikasi apabila menerbitkan aplikasi secara eksklusif di PlayStore.

Laporan berkaitan ini sebelum ini pernah hadir pada tahun lepas, mengatakan Samsung dan Google dalam perbincangan untuk tidak menyertakan Galaxy Store dan Bixby secara terbina, dan kedua-dua pihak dalam perbincangan untuk perkongsian pendapatan daripada hasil penggunaan aplikasi Google pada peranti Samsung.

Pada tahun ini juga kita sedia melihat Google dan Samsung mengumumkan kerjasama, memperlihatkan kod sistem operasi Tizen diintegrasikan pada Wear OS, dan Samsung mula menggunakan Wear OS menggantikan Tizen pada jam tangan pintar keluaran mereka.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami