Kamera Android Yongnuo YN455 Dilancarkan Dengan Sensor 20 MP M4/3 dan Rakaman 4K

Diterbitkan pada July 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Yongnuo YN450 dilancarkan pada tahun 2010 sebagai kamera digital pintar yang menggunakan sistem operasi Android. Penjualannya terhad di China sahaja dan dianggap aneh kerana pada waktu tersebut trend menghasilkan kamera digital Android telah lama tamat. Tetapi kini menurut laporan Photo Rumors, Yongnuo YN455 telah dilancarkan di Cina dengan sensor 20MP M4/3.

Tubuh kamera kini lebih ergonomik dengan bahagian pemegang yang lebih besar. Sensor 20MP M4/3 yang digunakan tahun ini adalah peningkatan dari 16MP yang digunakan pada YN450. Kamera dijana cip lapan teras Qualcomm 2.2 GHz, memori sebesar 6GB RAM, storan 64GB dan bateri sebesar 4400 mAh. Terdapat bicu audio untuk mikrofon dan fon kepala serta dua bicu USB-C untuk sambungan pek bateri atau monitor luar.

Sebuah skrin sesentuh 5″ yang boleh dilaras sudut diletakkan pada bahagian belakang kamera. Dari segi kemampuan video pula ia hanya sehingga 4K 30FPS. Tiada EVF atau cagak untuk flash tambahan disertakan pada kamera ini. Ia juga hanya menyokong lensa keluaran Yongnuo.

Versi sistem operasi Android yang digunakan pula masih lagi misteri pada waktu ini. Di China Yongnuo YN455 dijual pada harga RMB 3888 (~RM2516) untuk badan sahaja atau RMB 4686 (~RM3032) dengan lensa kit 42.5mm F1.7.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami