Kamera pada iPhone masih belum menyokong zum hirhilang yang tinggi seperti yang kini sudah menjadi standard pada peranti Android. Apple belum bersedia menawarkan kamera dengan zum periskop yang diperlukan. Tetapi zaman zum optikal sehingga 2X mungkin akan berakhir dalam masa terdekat selepas mereka dianugerahkan paten untuk sistem kamera periskop mereka sendiri menurut laporan Patenly Apple.
Paten menunjukkan dua prisma digunakan untuk memantulkan cahaya seperti periskop dengan beberapa elemen lensa yang menyokong fokus automatik dan OIS. Dengan wujudnya paten ini ramalan Ming-Chi Kuo bahawa Apple akan menggunakan kamera periskop menjelang 2023 mungkin menjadi kenyataan. Ini mungkin penyebab mengapa bonggol kamera iPhone setiap tahun semakin besar.
Tahun ini sekali lagi bonggol kamera pada iPhone 13 (nama yang mungkin digantikan) adalah lebih besar dari tahun lalu kerana penggunaan lensa yang lebih baik. Jika ramalan menjadi kenyataan, bonggol gergasi pada kesemua telefon mercu iOS dan Android bakal menjadi lumrah.