Implan Pertama Yang Membolehkan Menaip Menggunakan Gelombang Otak Berjaya Dibangunkan

Diterbitkan pada July 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Empat tahun yang lalu, Facebook mengejutkan dunia dengan rancangan menghasilkan sistem yang membolehkan pengguna menaip dengan membaca gelombang otak. Selepas empat tahun kajian dilakukan oleh Facebook Reality Labs dan University of California San Francisco, mereka akhirnya membangunkan peranti ini dan berjaya mengujinya pada seorang pesakit buat pertama kali dalam sejarah perubatan.

Sistem ini memerlukan implan pada permukaan otak dan ia membolehkan seorang pesakit lumpuh menaip dengan hanya berfikir. Dengan penggunaan sistem ini, pesakit boleh berhubung orang lain menggunakan 50 perkataan. Rangkaian neural yang dibangunkan menaip perkataan yang diingini selepas membaca gelombang otak yang dihasilkan.

Penerima implan lumpuh akibat diserang strok 15 tahun yang lalu dan hanya boleh berhubung dengan menaip pada papan kekunci yang ditekan menggunakan kayu yang disambung pada topi di kepala. Walaupun kejayaan yang diumumkan ini adalah berita baik, sistem masih hanya mampu mengesan 18 perkataan seminit dengan ketepatan sekitar 75% sahaja. Dalam perbualan normal, manusia boleh mengeluarkan sehingga 200 patah perkataan seminit.

Dua tahun yang lalu Facebook Reality Labs dan UCSF mengumumkan kejayaan membaca gelombang otak untuk menaip tetapi dengan jumlah kosa kata yang amat terhad.

Kajian akan diteruskan lagi bagi menambah jumlah kosa kata yang boleh difahami oleh rangkaian neural dan mempercepatkan proses gelombang otak diubah kepada perkataan untuk ditaip. Ia memberikan harapan kepada individu OKU yang lumpuh untuk kembali berinteraksi secara normal dengan ahli keluarga.

Sumber Facebook dan UCSF

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami