Pada hari ini, kita sedia melihat rekaan telefon pintar yang sering hadir dengan bonggol kamera – disebabkan oleh penggunaan sensor yang besar. Kini, Samsung dilihat ingin mengatasi perkara berkenaan, dan telah memulakan kajian berkaitan “lensa meta”.
Teknologi lensa meta akan mengambil penggunaan nanoteknologi dalam melentur cahaya – berbeza berbanding pada hari ini yang memerlukan penggunaan lensa bersaiz besar dalam melentur cahaya dalam merakamkan gambar.
Penggunaan teknologi ini dilihat akan membolehkan rekaan telefon tanpa bonggol kamera dibangunkan pada masa akan datang.

Buat masa ini, Samsung dilihat masih melakukan kajian berkaitan lensa meta ini. Beberapa pihak sedia membangunkan dan mengkaji arena sama, dan agak menarik untuk melihat Samsung turut menyertainya – dan mungkin kita akan melihat ia mengintegrasikan teknologi berkenaan kepada pengguna umum lebih pantas.
Selain teknologi metalensa, sebelum ini LG dan Corning turut dilaporkan bekerjasama untuk pembangunan lensa cecair dalam mengurangkan penggunaan multi-lensa pada peranti.