Dron tempur yang boleh melakukan operasi seperti pesawat pejuang konvensional dilihat akan menguasai ruang udara masa hadapan. Australia dan Amerika Syarikat telah membangunkan projek Loyal Wingman dan Skyborg masing-masing untuk merealisasikan impian ini. Sempena Hari Raya Korban semalam, Baykar firma yang membangunkan dron dari Turki telah memperlihatkan konsep dron tempur mereka yang tersendiri.

Dron konsep Muharip İnsansız Uçak Sistemi (MİUS) atau dalam bahasa Malaysia Sistem Pesawat Tempur Swatagerbang yang dikongsi menunjukkan ia menggunakan satu enjin dengan rekaan sayap Delta serta penggunaan canard kecil pada bahagian hadapan. Sistem dilaporkan dibangunkan oleh Baykar dengan enjin pula dibangunkan firma dari Ukraine.

MIUS diperlihatkan mampu beroperasi dari sebuah kapal pengangkut helikopter. Tiada senjata dapat dilihat pada bahagian luaran tetapi berdasarkan saiz dron, ia pastinya disimpan dalam tubuh seperti pesawat tempur generasi ke-lima yang sudahpun beroperasi seperti F-22 dan Su-57.
Turki kini menjadi nama besar dalam penghasilan dron bagi tujuan ketenteraan. Dron keluaran Baykar digunakan dengan meluas oleh tentera Azerbaijan dalam konflik Nagorno-Karabakh tahun lalu dan berjaya memusnahkan ratusan kenderaan berperisai milik Armenia.