Pandang Pertama Oppo Reno6 Z – Prestasi, 5G dan Kemampuan Fotografi

Diterbitkan pada July 22, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo Reno6 Z dilancarkan di Thailand semalam dengan pelancarannya di Malaysia akan dilakukan dalam masa terdekat. Sungguhpun begitu kami menerima akses awal peranti ini lebih awal dan telah menggunakannya selama lebih seminggu. Dengan pasaran peranti kelas pertengahan dengan sokongan 5G semakin sengit di Malaysia, pasti ramai ingin mengetahui sama ada Reno6 Z berbaloi untuk dimiliki.

Ini bukanlah jawapan yang senang untuk dijawab memandangkan sebelum ini Oppo A74 5G, telah dilancarkan di Malaysia. Mereka seperti mengorbankan peranti “lama” yang baru dilancarkan beberapa bulan yang lalu untuk melancarkan bukan sahaja Reno6 Z tetapi Reno6 yang dilengkapi dengan pemproses yang lebih berkuasa. Berikut ialah pandang pertama kami untuk peranti ini.

Spesifikasi

Oppo Reno6 Z
Skrin6.4″ AMOLED
FHD+, 60Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 800U (7nm)
Cip2 X 2.4 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHzCortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC3
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128GB (Mikro SD 512GB)
Kamera Utama64+8+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.4
Bateri4220 mAh
Pengecasan berwayar 30W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM ?

Skrin

Mari bercakap mengenai skrin kerana ini perbezaan pertama di antara Reno6 Z dan A74 5G. Skrin kali ini berteknologi AMOLED tetapi tidak pula menyokong kadar segar semula tinggi. Ia sekadar menyokong 60Hz yang kini dianggap kuno walaupun pada sebuah peranti kelas pertengahan Android.

Paparan warna adalah amat baik kerana ia dari keluarga OLED. Hitam lebih gelap dan warna lebih menyerlah. Kerana paparan yang cantik ini kami tidak merindui tiadanya sokongan 90Hz pada peranti ini. Bagi majoriti pengguna paparan yang elok lebih penting berbanding kelancaran.

Ia turut mempunyai pengimbas cap jari terbina di bawah skrin dari jenis optikal. Pada A74 5G pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian sisi terbina pada butang kuasa. Ia lebih perlahan tetapi dari apa yang dapat kami lihat di Malaysia, pengimbas cap jari bawah skrin lebih digemari kerana ia mesra mereka yang kidal dan kinan. Kami cuma kurang gembira dengan lokasi pengimbas yang terlalu ke bawah menghala ke dagu. Ia sepatutnya tinggi sedikit seperti pada peranti keluaran Samsung.

Skrin juga adalah rata dengan bezel yang agak nipis. Tiada isu ghost touch kami alami sepanjang dua minggu dan perkara negatif yang boleh dikatakan hanyalah saiz bezel yang tidak sekata.

Spesifikasi

Pemproses MediaTek Dimensity 800U dipadankan dengan memori sebesar 8GB dan storan sebesar 128GB. Storan boleh ditambah menggunakan kad mikro SD sekiranya perlu. Bagi yang memerlukan RAM yang lebih besar, Reno6 Z disertakan dengan ciri penambahan RAM secara maya sehingga 5GB. Apabila ciri digunakan, sebahagian storan diambil untuk digunakan sebagai RAM. Ini adalah ciri menarik yang dipopularkan oleh Oppo dan juga disokong oleh syarikat lain di bawah payung BBK Electronics sejak tahun ini.

Dengan cip Dimensity 800U, peranti menyokong rangkaian 5G dan sokongan dua SIM bersaiz nano. Dengan 5G dijangka mula ditawarkan secara komersial di Malaysia tahun hadapan, pengguna sudah bersedia untuk menikmati rangkaian selular yang lebih pantas dalam masa terdekat. Satu ciri yang tidak disokong ialah NFC.

Membekalkan kuasa kepada peranti ialah bateri sebesar 4220 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 30W. Tiada sokongan pengecasan nirwayar tetapi mungkin tidak dirindui kerana sistem pengecasan berwayar yang disokong adalah cukup pantas.

Rekaan

Rekaan tubuhnya sama seperti yang digunakan pada A74 5G. Bingkai logam yang dibulatkan dipadankan dengan panel belakang plastik dan juga bonggol kamera berbentuk empat segi. Panel belakang plastik bertekstur kasar bagi mengurangkan isu memerangkap kotoran dengan mudah. Ia turut memberikan permukaan yang lebih mencengkam sekiranya pengguna tidak mahu menggunakan kerangka. Sebuah kerangka plastik lutsinar disertakan dengan setiap pembelian bagi mereka yang ingin selepas pertahanan

Penggunaan kerangka masih kami sarankan kerana bonggol kamera yang digunakan walaupun tidak ekstrem, masih boleh menyebabkan peranti terjungkit dari permukaan meja. Dalam dunia pandemik ini kami faham ramai tidak mahu pergi membahayakan diri ke pusat alat gantian sekiranya peranti mengalami kerosakan sekiranya terjatuh.

Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan manakala butang laras suara pada sisi kiri. Kedua-dua butang mempunyai binaan yang teguh dan sedap digunakan. Tiada isu ianya terasa longgar seperti gigi susu kanak-kanak yang menanti digantikan dengan gigi kekal di sini. Kedudukannya juga ergonomik memudahkan akses apabila diperlukan.

Tiada sebarang piawaian kalis air diberikan oleh Oppo pada peranti kelas pertengahan mereka. Ini berterusan pada Reno6 Z. Hanya empat tahun lalu ramai meramalkan kemampuan kalis air akan menjadi standard pada peranti kelas pertengahan. Ramalan tidak menjadi kenyataan kerana hanya Samsung dan Xiaomi menawarkannya pada waktu ini. Maka sekiranya anda rakan penghantar makanan seperti Grab, peranti ini mungkin kurang sesuai untuk digunakan kerana mungkin rosak sekiranya terperangkap dalam hujan ketika menghantar barangan.

Terdapat slot untuk SIM pada sisi kiri yang memerlukan jarum untuk ditolak keluar. Talam SIM menyokong 2 SIM nano dan satu kad mikro SD. Ketiga-tiganya berasingan membolehkan digunakan secara serentak. Ini sebuah lagi misteri Nusantara pada peranti Android. Mengapa ini boleh dilakukan pada peranti kelas pertengahan tetapi tidak pada sebuah peranti mercu.

Satu lagi ciri menarik yang disertakan ialah bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah bersama dengan sebuah pembesar suara mono. Tiada sokongan audio stereo di sini dan juga tiada sistem audio Dolby Atmos. Ini sebuah lagi kekurangan yang ada pada Reno6 Z bagi mereka yang mungkin memerlukan kemampuan audio yang lebih baik.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar ColorOS 11.1. Oleh sebab itu ciri yang ditawarkan oleh Reno6 Z adalah sama dengan Oppo A75 5G yang kami ulas hanya beberapa bulan yang lalu. Memori 8GB yang ditawarkan adalah cukup besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Penggunaan terasa lancar dan pantas walaupun skrin sekadar 60Hz. Pelbagai ciri menarik disertakan seperti mod kanak-kanak, mengubah keseluruhan tema peranti, gestur, Oppo Share dan sokongan multi window.

Pengalaman penggunaan peranti mudah alih kelas pertengahan sejak beberapa tahun yang lalu kami rasakan hampir setanding dengan menggunakan sebuah peranti kelas mercu. Perbezaan hanya dapat dirasakan apabila memainkan permua tahap tinggi dan memproses video. Tetapi Dimensity 800U adalah cip yang masih cukup berkuasa untuk memainkan permua popular seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Asphalt 9. Kesemua dapat kami jalankan dengan lancar pada tetapan sederhana tanpa sebarang isu pemanasan yang melampau.

Kamera

Hanya sistem tri-kamera digunakan pada bahagian belakang. Lensa utama dengan sensor 64MP, lensa ultra sudut lebar 8MP dan lensa makro 2MP. Tiada sokongan zum optikal nirhilang disertakan tetapi dengan sensor utama yang besar, mengambil gambar zum menerusi teknik cropping boleh dilalukan. Kemampuan melakukan rakaman video pula adalah hanya sehingga 4K 30FPS.

Kami hanya sedikit kecewa lensa makro masih sekadar dipadankan dengan sensor 2MP. Tidak pernah lagi setakat ini kami melihat kemampuan fotografi yang memuaskan dapat dinikmati dengan sensor 2MP. Tetapi berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat diambil setakat ini. Analisa akhir akan diberikan dalam ulasan penuh kelak.

Kesimpulan

Pengenalan penggunaan awal adalah memberangsangkan. Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, prestasi yang diberikan adalah memuaskan dan masih lagi lancar sungguhpun tanpa sokongan skrin 90Hz dan menggunakan cip MediaTek. Dari segi penawaran ciri, ia sama sahaja dengan peranti mercu Oppo tahun ini iaitu Find X3 Pro. Oppo berjaya menawarkan pengalaman yang sekata pada kesemua peranti yang dikeluarkan oleh mereka.

Tetapi pasaran peranti kelas pertengahan adalah amat kompetitif. Sekadar berfungsi dengan lancar sahaja tidak memadai kerana peranti lain di pasaran mungkin menawarkan ciri tambahan. Untuk menjawab soalan sama ada Reno6 Z mempunyai kelebihan berbanding peranti lain memerlukan kami mengujinya dengan lebih lama. Nantikan ulasan penuh yang kana kami terbitkan dalam masa terdekat.

Pro

  • Rekaan yang selesa dalam tangan.
  • Skrin AMOLED yang cantik.
  • MediaTek Dimensity 800U berkuasa dan menyokong 5G.
  • Sistem pengecasan pantas 30W.
  • Bicu audio 3.5mm

Kontra

  • Skrin sekadar 60Hz.
  • Tiada NFC
  • Bateri sedikit kecil.
  • Kamera makro 2MP sahaja.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami