Cari @ Amanz

Dalam dunia sudah mula menikmati rangkaian 5G secara meluas, negara kita akan hanya dijangka boleh menggunakan rangkaian selular terpantas menjelang penghujung tahun ini. Dengan pelancarannya semakin dekat, kita dapat melihat semakin banyak peranti 5G ditawarkan di Malaysia pada pelbagai tanda harga. Dari mampu milik hinggalah premium.

Oppo A74 5G ialah usaha Oppo untuk menawarkan peranti 5G di Malaysia pada harga yang mampu milik. Dilancarkan pada penghujung April lalu dengan tanda harga RM1099, ia menimbulkan persoalan adalah peranti 5G kelas permulaan berbaloi untuk dimiliki. Ulasan ringkas ini cuba menjawab dengan menyentuh kekuatan dan kelemahan ada wujud pada Oppo A74 5G

Spesifikasi

Oppo A74 5G
Skrin6.5″ LTPS IPS LCD
FHD+, 90Hz
PemprosesSnapdragon 480 5G (8nm)
Cip2 X 2.0 GHz Kryo 460 Gold (Cortex A76)
6 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver (Cortex A55)
Cip GrafikAdreno 619
RAM6GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128GB UFS 2.1 (Mikro SD 512GB)
Kamera Utama48+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0, Zum 6X,
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 1099

Skrin

Jangan gosok mata kerana Oppo A74 5G memang saling tak tumpah rekaannya dengan OnePlus Nord 10 5G yang dipasarkan di Malaysia sejak Mac lalu dan telah saya ulas sebelum ini. Oleh itu dari segi rekaan kami tidak mempunyai sebarang komen negatif. Skrin 6.5″ IPS LCD hadir dengan sokongan 90Hz yang memuaskan bersama dengan rekaan rata yang seperti anda sedia maklum lebih senang digunakan berbanding skrin melengkung.

Penghasilan warna tidak sehebat skrin OLED atau AMOLED tetapi tidaklah terlalu teruk sehingga kami merasakan ia membuatkan peranti tidak boleh digunakan. Warna memang sedikit kurang menyerlah namun ini ialah ciri standard pada skrin LCD. Jika anda tidak pernah menggunakan panel OLED, kekurangan ini tidak akan disedari. Tetapi kami ada peranti skrin OLED dan tiada sokongan HDR10 adalah ketara terutamanya apabila menstrim kandungan Netflix dan YouTube.

Rekaan

Tubuh diperbuat daripada logam yang dibulatkan amat selesa di dalam genggaman tangan. Ia tidak berkilat membuatkan semakin mudah ia dipegang tanpa perlu risau tergelincir kerana tidak licin seperti sabun. Walaupun panel belakang diperbuat daripada plastik, ia masih kelihatan premium kerana warna cerun yang digunakan kelihatan seperti logam. Seperti panel sisi, panel belakang ini tidak berkilat maka tidak menangkap kotoran dengan mudah.

Sebuah pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan. Di zaman pandemik dimana imbasan wajah sukar digunakan (ia disertakan sekiranya anda mahu gunakan juga), wujudnya pengimbas cap jari fizikal yang pantas adalah perlu. Hanya sedikit kecewa ia diletakkan pada sisi kanan dan tidak di belakang seperti pada Nord N10 5G. Jika anda pengguna kidal, proses menyahkunci mungkin sedikit mencabar kerana kedudukan pengimbas ini.

Bicu audio juga masih disertakan bagi mereka yang masih belum bersedia untuk berpindah ke aksesori audio nirwayar. Dengan pilihan ini isu sela masa audio ketika memainkan permua tidak akan menjadi isu pada A74 5G.

Sokongan dwi-SIM dan kad mikro SD juga masih ada sesuai dengan keperluan pasaran Malaysia dimana mempunyai dwi-SIM dan menambah storan adalah perkara normal. Oppo juga tidak lokek kerana talam dwi-SIM dan kad mikro SD ini adalah berasingan. Ketiga-tiganya boleh digunakan serentak.

Pemproses Dan Tanda Aras

Snapdragon 480 5G ialah cip baru dilancarkan Januari lalu sebagai cip 5G kelas permulaan dari Qualcomm. Sungguhpun begitu ia berkongsi banyak persamaan dengan Snapdragon 678 kerana masih menggunakan teras Kryo 460 berasaskan Cortex A76. Tetapi jangan terpedaya dengan nombor 678 dan 480 di sini. Snapdragon 480G menggunakan teknologi 8nm dan bukannya 11nm seperti Snapdragon 678. Tambahan lagi GPU Andreno 619 adalah lebih baik berbanding Adreno 612. Nombor mungkin lebih kecil tetapi dari segi prestasi Snapdragon 480 adalah pemproses lebih baik lengkap dengan sokongan 5G menerusi model X51 terbina.

Kita kini hidup di dunia di mana penamaan cip Snapdragon boleh mengelirukan kerana siri 400 tak semestinya lemah dan siri 600 tak semestinya berkuasa. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan, markah yang dicatatkan oleh Oppo A74 5G adalah seperti di bawah.

Pengalaman menggunakan permua adalah sederhana sahaja. Kebanyakan permua 3D boleh dimainkan pada tetapan sederhana dengan kadar bingkai yang memuaskan. Isu pemanasan tidak begitu ketara malah kami katakan suam-suam sahaja tetapi tidak sehangat Snapdragon 888. Jika permua 2D sahaja anda mainkan, Snapdragon 480 adalah lebih dari memadai. Ia juga cukup berkuasa untuk 90% aplikasi yang digunakan seharian seperti Facebook, Twitter, Instagram, Octima, dan WhatsApp.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar ColorOS 11.1. Ini bukanlah versi paling terkini 11.2 yang digunakan pada Oppo Find X3 Pro tetapi kami tidak terasa terdapat ciri yang dibuang walaupun beza harga peranti adalah hampir RM3000.

Memori 6GB yang ditawarkan mungkin agak kecil tetapi sekali lagi tidak terasa kehilangannya sekiranya tidak terlalu banyak aplikasi dilancarkan serentak. Penggunaan terasa lancar dan pantas kerana Color OS dioptimasikan dengan cukup baik sekali. Sekiranya skrin 90Hz anda rasakan tidak perlu, anda boleh mengubahkan ke mod 60Hz untuk menjimatkan lagi bateri.

Oppo tidak lokek dalam memberikan pelbagai ciri tambahan yang tidak diberikan pada Android asli. Hampir semuanya boleh diubah dari saiz grid talam aplikasi, talam aplikasi itu sendiri, gestur, ikon, animasi, dan banyak lagi. Adalah mustahil untuk menyenaraikan pelbagai ciri tambahan yang disertakan Oppo tetapi yang berguna adalah Smart Sidebar untuk singkatan pantas aplikasi, menghilangkan lubang kamera dengan meletakkan dahi pada atas skrin, gestur untuk melakukan tangkapan layar dan banyak lagi.

Tahun ini saya berpeluang mengulas Oppo Find X3 Pro dengan spesifikasi paling mercu (Snapdragon 888) dan Oppo A74 5G dengan spesifikasi yang jauh lebih rendah. Walaupun jurang prestasi pemproses kedua-dua peranti adalah besar, tetapi pengalaman penggunaan Color OS adalah hampir setara. Memanglah Find X3 Pro lebih pantas kerana memori dan storan lebih pantas tapi dalam 90% situasi menggunakan Facebook, Instagram, Chrome dan Twitter pengalaman masih sama lancar dan sama tidak mendatangkan sebarang masalah.

Pelancar Color OS kini semakin matang dan mantap walaupun pada peranti mereka yang dijual pada tanda harga mampu milik. Isu peranti Oppo sebelum ini terdapat jurang prestasi ketara antara model mercu dengan pertengahan. Kerana pengoptomasian yang telah dilakukan, isu lama tidak berbangkit dan ini adalah penyebab mengapa Oppo sekarang menjadi peranti dengan jualan tertinggi di China dan rantau Asia Tenggara.

Telefoni dan GPS

Terdapat sokongan rangkaian 5G tetapi ini tidak mampu kami uji kerana belum dilancarkan. Panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE, A74 5G menyokongnya dan panggilan suara yang lebih berkualiti tinggi dapat dilakukan. Tiada isu sukar mendapatkan isyarat LTE yang baik dialami sepanjang tempoh ulasan.

Prestasi GPS juga pantas. Aplikasi Waze dan Maps apabila digunakan dapat menjejak lokasi kenderaan dalam masa kurang dua saat. Ketika memandu pula tiada isu secara tiba-tiba kehilangan isyarat atau lokasi yang salah ditunjukkan dalam aplikasi. Sebagai sebuah telefon dan peranti navigasi, A74 5G berfungsi dengan cemerlang.

Kamera

Meneruskan tema bahawa A74 5G ialah sebuah Nord N10 5G dengan beberapa perubahan spesifikasi, kemampuan kamera antara kedua-dua peranti juga adalah. Prestasi gambar dalam situasi pencahayaan yang baik adalah amat memuaskan dengan imej yang tajam serta penghasilan semula warna yang boleh diterima pada sebuah peranti kelas pertengahan. Gambar hangat sedikit kekuningan berbanding situasi sebenar tetapi masih kelihatan cantik.

Zum sehingga 2X memberikan gambar yang masih memuaskan kualitinya tetapi apabila ke zum maksimum 6X ia kelihatan sedikit lembut tetapi kualiti masih boleh diterima. Tanpa sokongan OIS pada kesemua lensa, gambar yang dihasilkan menggunakan mod zum adalah kurang tajam. Ini ialah isu standard pada kesemua peranti dengan hanya sistem EIS di pasaran. EIS bukan pengganti yang baik untuk OIS.

Mod malam adalah satu lagi aspek yang memuaskan. Dalam pelbagai percubaan yang dilakukan, imej yang dihasilkan mempunyai isu hingar yang ketara. Tidak seperti pada peranti mercu yang kami sering ulas, bukaan kamera adalah berbeza mengikut situasi pencahayaan. Pada A74 5G bukaan konsisten sekitar 2 saat ketika mod malam digunakan.

Oleh itu kami mendapati gambar tidak begitu jelas dan tajam sekali lagi kerana tiadanya OIS pada sistem kamera. Memegang peranti selama dua saat akan menyebabkan tangan bergerak dan hasilnya imej kurang memuaskan.

Mod makro juga sama seperti mod malam. Kerana sensor hanya 2MP, imej yang dihasilkan kelihatan pecah kerana ini ialah saiz sensor dari kamera sedekad lalu. Penggunaan sensor kecil untuk makro adalah gimik yang sudah tiba masanya dibersarakan.

Bateri

Dengan bateri 5000 mAh tiada isu peranti dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana berat. Malang sekali kami teringin sangat untuk mencuba prestasi A74 5G dengan LTE semata-mata dengan penggunaan di luar rumah. Malang sekali kerana PKP ujian yang lebih menyeluruh yang biasa kami lakukan terpaksa dibatalkan atas tujuan mengelakkan diri menjadi satu lagi statistik Covid-19.

Dalam penggunaan kami di rumah dengan WiFi terpasang, peranti boleh bertahan sehingga 24 jam dengan SOT mencecah 12 jam. Berdasarkan pengalaman mengulas peranti dengan penggunaan yang sama, kami menganggarkan penggunaan sehingga 7-8 jam SOT jika bergantung kepada LTE sepenuhnya. Hayat bateri yang lebih baik boleh dinikmati sekiranya skrin dikurangkan kepada mod 60Hz.

Bateri yang besar ini boleh dicas semula dalam masa sekitar 90 minit menerusi pengecas 18W yang disertakan dalam kotak. Bukanlah pengecas terpantas pernah dihasilkan oleh Oppo tetapi memadai sekiranya hanya sekali sahaja pengecasan perlu dilakukan sehari.

Audio

Kelemahan paling utama pada hemat kami terletak pada audio yang mengecewakan. Tiada sokongan audio stereo dengan pembesar suara hanya terletak di bahagian bawah. Audio tidak seimbang serta kurang ampuh. Pada tetapan yang paling tinggi, bunyi berkecamuk sehingga sukar untuk membezakan muzik latar belakang dengan dialog yang dituturkan watak dalam filem yang ditonton.

Kami katakan A74 5G ialah adik kepada Nord N10 5G. Pada Nord N10 5G sepasang speaker stereo boleh diberikan. Rekaan sama, tubuh sama dan syarikat yang mengeluarkan adalah di bawah panji yang sama. Ketiadaan speaker stereo adalah sukar untuk dimaafkan kerana dalam kategori serta harga ini, peranti lain dalam kelas yang sama banyak ditawarkan dengan speaker stereo. Yang mengubat kekecewaan ialah audio menggunakan aksesori audio nirwayar dan berwayar adalah memuaskan.

Pesaing

Oppo A74 5GOnePlus Nord N10 5GRedmi Note 10
6.5″ IPTS IPS LCD, 1080 x 2400, 90Hz (405 ppi)6.49″ IPS LCD, 1080 x 2400,
90Hz (406 ppi)
6.43″ SAMOLED, 1080 x 2400, HDR10+, 60Hz (409 ppi)
Snapdragon 480 (8nm)
2 X 2.0 GHz Kryo 460 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 460 Silver
Snapdrgon 690 5G (8nm)
2 X 2.0 GHz Kryo 560 Gold
4 X 1.7 GHz Kryo 560 Silver
Snapdragon 678 (11nm)
2 X 2.2 GHz Kryo 460 Gold
4 X 1.7 GHz Kryo 460 Silver
Adreno 619Adreno 619LAdreno 612
6 GB LPDRR4X6 GB LPDRR4X6 GB LPDDR4X
128 GB UFS 2.1
mikro SD 512GB
128 UFS 2.1
mikro SD 512GB
128 GB UFS 2.2
mikro SD 512GB
Kamera Utama
48+8+2+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4,
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
13-Megapixel f/2.5
TiadaTiadaIP53
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
5000mAh (Berwayar 18W)4300mAh (Berwayar 30W)5000 mAh (Berwayar 33W)
Harga RM 1099Harga RM1199Harga RM799

Kesimpulan

Oppo A74 5G ialah usaha Oppo menawarkan peranti 5G pada harga yang mampu milik dan mereka berjaya melakukannya. Peranti masih mempunyai kemasan yang kelihatan premium dan sedap di dalam tangan tanpa sebarang kompromi penawaran ciri tambahan. Masih terdapat bicu audio, pengimbas cap jari, bateri yang cukup besar dan pemproses yang cukup berkuasa untuk memainkan permua popular.

Snapdragon 480 kosong mungkin dari siri 400 tetapi prestasinya hanya sedikit di bawah Snapdragon 690 (OnePlus Nord N10 5G) tetapi lebih baik berbanding Snapdragon 678 (Redmi Note 10). Dalam ulasan ini kami banyak berkata A74 5G adalah sebuah Nord N10 5G yang diberikan persalinan kulit dan ditukar pemprosesnya sahaja. Oleh itu semua kekuatan Nord N10 5G ada pada A74 5G tetapi begitu juga kekurangannya.

Kekurangan adalah kamera yang berfungsi dengan baik dalam situasi pencahayaan yang baik tetapi mengecewakan dalam mod malam dan makro. Mungkin lebih baik peranti dwi-kamera utama sahaja ditawarkan dalam segmen ini jika mod makro langsung tidak memuaskan. Ini akan mengurangkan kos peranti dalam segmen harga yang kini semakin kompetitif.

Pada harga RM1099, ia ditawarkan pada harga yang munasabah untuk pakej yang ditawarkan. Prestasi lebih baik berbanding Redmi Note 10 dan skrin yang mempunyai kadar segar semula lebih tinggi. Tetapi pada hemat saya secara peribadi, OnePlus Nord N10 5G adalah pilihan lebih baik kerana pemproses lebih berkuasa, pengimbas cap jari lebih ergonomik dan pengecasan lebih pantas dengan tambahan harga RM100 sahaja.

Pro

  • Rekaan yang menarik dengan kemasan yang cantik
  • Skrin 90hz membuatkan peranti terasa pantas.
  • Snapdragon 480 adalah lebih berkuasa dari disangka.
  • Prestasi bateri yang amat memuaskan.
  • Bicu audio 3.5mm

Kontra

  • Pengecasan hanya 18W. Tidak sepantas VOOC pada peranti Oppo yang lain.
  • Mod malam dan makro yang tidak memuaskan.
  • Pengimbas cap jari kurang mesra pengguna kidal.
  • Speaker mono.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd