Ulasan OnePlus Nord N10 5G – Tolak Tambah Kali Ganda Hitung Kira Skala Nisbah

Ulasan OnePlus Nord N10 5G – Tolak Tambah Kali Ganda Hitung Kira Skala Nisbah

Diterbitkan pada Mac 25, 2021 oleh .

November tahun lalu OnePlus Nord N10 5G dilancarkan sebagai peranti kelas pertengahan untuk pasaran antarabangsa kecuali Malaysia. Dengan pasaran ini sangatlah kompetitif di Malaysia, ramai pastinya menyangka ia tidak akan dilancarkan di negara kita. Tetapi tanpa diseru, sekonyong-konyong ia mula dijual membuatkan ramai tertanya-tanya adalah OnePlus versi mampu milik ini masih mengekalkan pedigri Never Settle? Menerusi ulasan kilat ini kami cuba menjawab kesemua persoalan yang mungkin terbungkam di hati pembaca semua.

Spesifikasi Dan Rekaan

OnePlus Nord N10 5G
Skrin6.49″ IPS LCD
FHD+, 90Hz
PemprosesSnapdragon 690 (8nm)
Cip2 X 2.0 GHz Kryo 560 Gold
6X 1.7 GHz Kryo 560 Silver
Cip GrafikAdreno 619L
RAM6GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 2.1 (Mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama64+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4, Zum 10X
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.1
Bateri4300mAh
Pengecasan berwayar 30W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1199

Dengan skrin LCD sebesar 6.49″ , skrin Nord N10 adalah antara aspek paling mengecewakan. Sejak lebih setahun lalu, penggunaan skrin OLED mula menjadi kebiasaan dalam segmen peranti kelas pertengahan. Paparan warna adalah kurang menyerlah dengan sudut pandangan yang terhad. Di bawah sinaran mentari yang panas, skrin menjadi sukar dibaca. Kekurangan inilah menyebabkan skrin OLED mula menjadi teknologi pilihan dengan LCD hanya digunakan pada peranti kelas budget. Sebagai pengguna skrin OLED, prestasi skrin Nord N10 adalah tidak sekadar memuaskan sahaja tanpa faktor wow.

Hanya kadar segar semula 90Hz yang disokong mengurangkan kesipuan OnePlus. Menatal terasa amat lancar dan pantas walaupun peranti sekadar dilengkapi pemproses Snapdragon 690. Kadar segar semula ini bukan dari jenis adaptif dan kadang kala ia tidak berfungsi pada kadar bingkai yang konsisten. Bukan tab Chrome dengan banyak dan kami dapat melihat peranti tersedak-sedak ketika melakukan tatalan yang pantas. Kemampuan 90Hz pada Nord N10 memang tidak setanding dengan abang besarnya OnePlus 8T dan 8 Pro.

Bezel skrin adalah nipis kecuali pada bahagian bawah yang agak ketara. Ini membuatkan peranti kelihatan kurang seimbang tetapi pada peranti kelas pertengahan ini boleh dimaafkan kerana adalah estetik standard. Skrin adalah rata yang membuatkan tiada isu imej melimpah keluar ke sisi apabila menonton video. Terdapat lubang skrin yang kecil tetapi tidak terlalu mencacatkan pemandangan. OnePlus memberikan ciri menambah bezel atas sekiranya anda tidak suka lubang kamera muncul ketika menonton video pada skrin penuh.

Cip Snapdragon 690 yang digunakan juga sedikit memusykilkan. Walaupun dari siri Snapdragon 600, ia sebenarnya berkongsi lebih banyak persamaan dengan siri Snapdragon 750G. Dua teras Kryo 560 Gold cip ini berasaskan Cortex-A77 dan enam lagi teras Kryo 560 Silver adalah berasaskan Cortex-A55. Snapdragon 732G yang mungkin ramai menyangka adalah lebih berkuasa hanya menggunakan dua teras Kryo 470 Gold berasaskan Cortex-A76 dan enam teras Kryo 470 Silver berasaskan Cortex A55. Tak berakhir di sini, Snapdragon 690 dilengkapi GPU Adreno 619L yang juga di atas kertas lebih berkuasa berbanding Adreno 618 pada Snapdragon 732G.

Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 6GB dan storan 128GB UFS 2.1. Hanya satu model ditawarkan tetapi jika anda memerlukan storan lebih besar, Nord N10 menyokong kad mikro SD sehingga 512GB. Turut disokong ialah dwi-SIM bersaiz nano dan sokongan rangkaian 5G. Malang sekali buat kita semua, rangkaian 5G masih belum dilancarkan yang membuatkan ciri ini menjadi sekadar gajah putih buat masa ini.

Sistem kamera utama yang digunakan pula menggabungkan sensor 64MP ultra lebar, 8MP ultra sudut lebar, 2MP makro dan 2MP kedalaman. Ini bukanlah sistem kamera kelas pertengahan yang boleh dibanggakan langsung. Peranti boleh melakukan zum digital sehingga 10X sekiranya diperlukan. Namun begitu rakaman video sehingga 4K 30p masih boleh dilakukan dengan sokongan gerak perlahan pula sehingga FHD 120p. Untuk swafoto pula, kamera sebesar 16MP disertakan.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 4300 mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W. Tiada sokongan pengecasan nirwayar atau berbalik. Pada hemat kami dua ciri ini sebenarnya tidak diperlukan sangat pada peranti kelas pertengahan kerana hanya menambahkan harga jualan. Pengecasan dilakukan menerusi port USB-C dan pengecas disertakan dengan setiap pembelian. OnePlus tidak membenci bumi tetapi lebih menyayangi pembeli yang masih belum boleh menerima konsep pembelian pengecas secara berasingan.

Penggunaan skrin LCD bukan satu-satunya ciri retro yang dikekalkan oleh Nord N10. Ia adalah antara peranti terakhir di pasaran yang meletakkan pengimbas cap jari fizikal pada bahagian belakang. Kami mempunyai pendapat bahawa pengimbas di bahagian belakang adalah lebih ergonomik berbanding pengimbas terbina dalam skrin. Peranti dengan lebih mudah dikunci ketika masih di dalam poket (kerana pengimbas tidak perlu diaktifkan terlebih dahulu) dan mudah dicari kerana terdapat parit untuk pengimbas.

Ia juga lebih pantas berbanding sistem optikal dan ultrasonik yang telah kami gunakan. Dengan zaman pandemik masih belum berakhir, pengimbas cap jari ialah sistem biometri paling cocok kerana mengimbas wajah kini amat sukar kerana pemakaian pelitup muka.

Ciri klasik bicu audio 3.5mm juga dikekalkan pada bahagian bawah peranti. Bagi mereka yang benci dengan sela masa apabila menggunakan TWS, bicu audio yang disertakan ini adalah amat dihargai. Pembesar suara stereo juga diberikan tetapi dengan konfigurasi satu menembak ke sisi dan satu lagi menembak ke depan.

Melengkapi spesifikasi ialah sokongan WiFi 5GHz, bluetooth 5.1, pelbagai sistem navigasi satelit, VoLTE dan NFC. Mungkin ramai menyedari Nord N10 tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air dan debu. Tetapi secara lazimnya OnePlus meletakkan lapisan kalis percikan pada komponen dalaman peranti cuma tidak menjalani ujian piawaian rasmi bagi mengurangkan harga jualan.

Penggunaan Dan Perisian

Android 10 dipadankan dengan pelancar Oxygen OS 10.5.11. Ya pembaca budiman sekalian, Nord N10 masih lagi menggunakan sistem operasi Android 10. Mungkin ini langkah OnePlus untuk mengekalkan tema angka 10 pada keseluruhan peranti ini. Harus dikatakan ini adalah mengecewakan kerana kita kini di bulan Mac 2021 dan sistem operasi ini sudah hampir mencapai usia dua tahun. Samsung yang dahulunya dibenci kerana menggunakan sistem operasi lamapun sudah tidak meneruskan tabiat buruk ini.

Perkara positif yang boleh kami tulis mengenai pengalaman penggunaan ialah Oxygen OS 10 masih lagi antara yang paling lancar dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik. Kesemuanya dilakukan dengan antaramuka yang hampir kelihatan seperti Android asli. Di sini identiti OnePlus masih dapat dilihat dengan jelas. Dalam 90% situasi peranti berfungsi dengan pantas dan terasa amat lancar kerana skrin 90Hz yang digunakan. Kami hanya menyedari tatalan tersedak-sedak jika terlalu banyak aplikasi dilancarkan serentak. Mungkin ini adalah disebabkan RAM hanya sebesar 6GB.

Seperkara lagi yang merisaukan ialah Nord N10 akan hanya menerima sokongan sistem operasi selama setahun sahaja. Apabila ia menerima Android 11 kelak, ia akan menjadi versi terakhir. Ketika ulasan ditulis OnePlus masih belum memberitahu bilakan Nord N10 akan menerima Android 11. Keputusan ini kami rasakan kurang bijak bagi sebuah syarikat yang menggunakan slogan jangan setel. Tahun ini Samsung sudah mula memberikan sokongan sistem operasi sehingga tiga generasi pada peranti kelas pertengahan mereka. Maka janji satu tahun untuk peranti yang menggunakan sistem operasi hampir dua tahun tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, Nord N10 mencatatkan 607/1843 markah untuk satu teras dan multi teras. Dari segi prestasi markah satu teras Snapdragon 690 adalah 66% prestasi satu teras dan 60% prestasi multi teras Snapdragon 888 yang merupakan pemproses Android paling berkuasa di pasaran sekarang. Dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 326,496 markah dan adalah sekitar 50% markah yang dicatatkan Snapdragon 888 (630,020 markah).

Perbezaan prestasi ini tidaklah seteruk yang disangka apabila anda menyedari harga jualan peranti mercu sekarang adalah 3-5 kali ganda lebih mahal berbanding Nord N10 5G. Prestasi memainkan permua adalah sederhana tetapi memuaskan dalam kelasnya. Permua 3D boleh dimainkan dengan lancar jika tetapan medium diambil tanpa mengaktifkan tetapan tambahan seperti bayang-bayang dinamik misalnya. Tiada masalah pemanasan melampau disedari. Malahan ia jauh lebih sejuk jika ingin dibandingkan dengan peranti Snapdragon 888 yang sedang hangat di pasaran.

Kamera

Seperti yang ditulis beberapa perenggan di atas, sistem kuad kamera Nord N10 menggabungkan sistem lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan kedalaman. Tiada sokongan zum optikal ataupun zum melampau sehingga ke bulan diberikan. Dalam situasi pencahayaan yang baik, kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan cuma terdapat tinta biru yang ketara. Gambar lebih sejuk jika dibandingkan dengan situasi sebenar.

Zum sehingga 2X memberikan gambar yang masih memuaskan kualitinya tetapi apabila ke zum maksimum 10X ia mula pecah. Kami merasakan kualiti gambar yang diambil pada zum 10X tidak sesuai langsung untuk digunakan walaupun untuk perkongsian ke media sosial. Malahan viewfinder mula terhoyong-hayang pada tetapan ini dan sukar untuk mengambil gambar yang diingini.

Mod malam Nightscape pula kurang konsisten. Kadang kala imej yang dihasilkan terang dan tajam. Kemudian apabila diambil sekali lagi pemfokusan lari serta memperlihatkan isu hingar yang ketara. Pemfokusan pada waktu malam juga tidak begitu pantas. Kerap kali ia memfokus ke objek latar sehingga objek yang ingin diambil kelihatan kabur.

Mod makro pula sekadar ciri tambahan yang sebenarnya lebih baik tidak disertakan. Kerana saiz sensor 2MP yang kecil, masalah hingar, objek yang tidak tajam dan gambar kelihatan gelap muncul dengan kerap. Pada hemat kami implementasi mod makro pada Nord N10 seperti melepaskan batok di tangga.

Audio

Audio adalah memuaskan kerana speaker stereo yang disertakan adalah lantang. Kerana konfigurasi satu menghala ke sisi dan satu menghala ke depan, audio yang dihasilkan adalah kurang seimbang dengan speaker bawah lebih kuat. Pada tetapan paling tinggi, audio masih lagi boleh diterima tanpa isu ia kedengaran pecah. Tambahan ke aksesori bluetooth adalah baik terutamanya jika ia menyokong codec LDAC Hasilnya ialah audio yang lebih baik dari speaker fizikal yang diberikan. OnePlus tidak lokek memberikan juga bicu audio 3.5mm. Oleh itu markah bonus diberikan pada kemampuan audio Nord N10.

Bateri

Dalam penggunaan biasa di rumah, hayat SOT sehingga 10-11 jam boleh dicapai dengan peranti beroperasi sehingga 23 jam. Kami tidak sempat menguji peranti dengan LTE sepenuhnya kerana pandemik membuatkan kami jarang sekali berada di luar rumah. Tetapi berdasarkan peribadi, SOT 10 jam dengan WiFi adalah bersamaan 6-7 jam menggunakan LTE.

Hayat ini dicapai dengan mengambil gambar, menggunakan aplikasi media sosial, menonton YouTube dan melayari web. Kami tidak mencuba pula sesi permua yang panjang kerana kami tidak berapa kerap memainkan permua di telefon. Prestasi bateri 4300 mAh Nord N10 adalah baik bagi peranti dengan skrin LCD 90Hz. Jika kehabisan bateri sekalipun ia boleh dicas semula dalam masa sekitar 50 minit menggunakan pengecas 30W yang disertakan dengan setiap pembelian.

Pesaing

OnePlus Nord N10 5GSamsung Galaxy A72Redmi Note 10 Pro
6.49″ IPS LCD, 1080 x 2400, HD, 90Hz (406 ppi)6.7″ SAMOLED, 1080 x 2400, 90Hz (393 ppi)6.67″ AMOLED, 1080 x 2400,120Hz (395 ppi)
Snapdragon 690 (8nm)
2 X 2.0 GHz Kryo 560 Gold
6 X 1.7 GHz Kryo 560 Silver
Snapdragon 720G (8nm)
2 X 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Snapdragon 732G (8nm)
2 X 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Adreno 619LAdreno 618Adreno 618
6 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X6/8 GB LPDDR4X
256 GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 512GB
256 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 1TB
128 GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 512GB
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4
Kamera Utama
64+8+12+5 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.2+f/2.4),OIS
Kamera Utama
108+8+5+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
TiadaIP67IP54
YaYaYa
Audio Stereo Audio StereoAudio Stereo
4300mAh (Berwayar 30W)5000mAh (Berwayar 25W)5020 mAh (Berwayar 33W)
Harga RM1199Harga 1899Harga RM999/RM1099

Kesimpulan

OnePlus Nord N10 5G dilancarkan terlalu lewat di Malaysia (4 bulan selepas pelancaran di US) yang kini sudah mula melihat kemunculan peranti seperti Redmi Note 10 Pro Poco F3 yang dijana pemproses lebih berkuasa serta yang sama ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada harga RM1199 sebuah, OnePlus Nord 10 sebenarnya ditawarkan pada harga yang kompetitif jika peranti Xiaomi dan Poco tidak diambil kira. Cip Snapdragon 690 yang digunakan sebenarnya agak berkuasa. Apabila dipadankan dengan skrin 90Hz dan OxygenOS, pengalaman yang lancar dapat dinikmati hampir sepanjang masa. Ia juga mempunyai sokongan 5G untuk menjadikannya bersedia untuk rangkaian telekomunikasi masa depan apabila ia ditawarkan di Malaysia tahun hadapan.

Oleh sebab itu ia adalah seperti lagu Angguk Angguk Geleng Geleng oleh Ahli Fiqir. Ia mempunyai pelbagai aspek tolak tambah kali ganda hitung kira skala nisbah. Untuk setiap positif ada negatif. Berbaloi ataupun tidak Nord N10 terletak kepada nisbah ciri positif kepada negatif peribadi setiap pengguna. Kami melihat Nord N10 ini sebagai peranti permulaan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan ekosistem OnePlus tetapi belum mampu membeli peranti mercu mereka.

Pro

  • Rekaan yang selesa di dalam tangan.
  • Prestasi Snapdragon 690 yang memuaskan untuk sebuah peranti kelas pertengahan.
  • Skrin 90Hz membuatkan peranti terasa pantas.
  • Bicu audio 3.5mm.
  • Prestasi bateri yang amat memuaskan.
  • Sistem pengecasan yang pantas dan disertakan dengan pembelian.
  • Menyokong kad mikro SD.

Kontra

  • Skrin LCD sedangkan peranti pesaing sudah berubah ke OLED.
  • Tiada butang membisukan notifikasi seperti peranti OnePlus yang lain.
  • Mod 90Hz tidak lancar sepanjang masa.
  • Masih menggunakan Android 10.
  • Hanya akan menerima satu kemas kini versi Android.
  • Tiada pengimbas bawah skrin yang ada pada pesaing.


TIPS & ULASAN