Cari @ Amanz

Varian Delta Covid-19 kini mula menjadi varian utama yang menjangkiti pesakit di seluruh dunia. Di Malaysia hanya beberapa kes varian Delta dilaporkan menerusi kes import tetapi ia masih dimasukkan ke dalam senarai varian yang membimbangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kerana kadar kebolehjangkitannya yang lebih tinggi, ramai mulu bimbang suntikan vaksin sedia ada tidak cukup berkesan untuk menentangnya.

Tetapi kajian terkini yang diterbitkan di dalam jurnal New England Journal of Medicine mengesahkan dua suntikan vaksin AstraZeneca dan Pfizer masih lagi berkesan menentang varian Delta. Kadar keberkesanan AstraZeneca menentang varian Delta adalah sehingga 67%, hanya berkurangan dari 74.5% menentang Varian Alpha sebelum ini.

AstraZeneca

Sementara itu keberkesanan Pfizer menentang varian Delta ialah sekitar 88%, berkurangan dari 93.7% menentang varian Alpha sebelum ini. Kadar keberkesanan Pfizer selepas satu dos adalah hanya 36% dan AstraZeneca pula adalah 30%. Ini adalah sebab mengapa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang mempercepatkan proses melengkapkan pemberian dos di Malaysia bagi membolehkan negara mencapai tahap imunisasi kelompok menjelang Oktober 2021.

Kadar keberkesanan baharu menentang varian Delta ini masih lagi cukup tinggi untuk mengelakkan kematian dan tempoh tinggal di hospital yang lama. Oleh sebab itu keperluan untuk dos tambahan pada waktu ini masih belum diperlukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd