Cari @ Amanz

Astro Ultra Plug & Play Box Yang Hanya Memerlukan Sambungan Internet Dilancarkan Pada Harga Bermula RM49.06 Sebulan

Link Copied!

Sejak memulakan operasi pada tahun 1996, Astro menjalani beberapa evolusi sebagai penawar perkhidmatan televisyen satelit pertama negara. Bermula dari zaman SD, HD ke 4K, Astro kini akan menerjah pula ke arena penawaran perkhidmatan yang kini tidak lagi memerlukan sambungan kepada sebuah parabola di luar rumah.

Astro Ultra Plug & Play Box yang dilancarkan hari ini hanya memerlukan sambungan Internet untuk menikmati kesemua kandungan yang ditawarkan oleh Astro sebelum ini. Pelanggan masih boleh mengakses ciri seperti resolusi 4K, menstrim lebih 60,000 kandungan VOD dan storan secara awanan. Kotak TV baharu Astro Ultra Plug & Play Box mempunyai rekaan yang sama seperti kotak Ultra dan Ulti sebelum ini.

Astro telah menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan terpilih sejak penghujung Jun lalu. Untuk menikmati perkhidmatan pada kualiti terbaik, pelanggan perlu menggunakan perkhidmatan Internet dengan kelajuan 30 Mbps. Sambungan boleh dilakukan menggunakan WiFi atau kabel ethernet.

Perkhidmatan Astro Ultra Plug & Play Box ditawarkan pada harga bermula dari RM49.06 sebulan dengan pakej Starter Pack dengan kontrak selama 24 bulan. Sebenarnya kesemua pakej yang ditawarkan Astro adalah sama seperti pakej yang ditawarkan sebelum ini. Tetapi pada waktu ini Astro menawarkan promosi Super Pack Lite Movies yang turut hadir dengan perkhidmatan Disney+ Hotstar dan HBO GO pada harga RM96 sebulan.

Untuk terma dan syarat lengkap sila ke laman Astro.


Komen ()