Kuasa nuklear dan bersih adalah dua perkataan yang tidak akan bergabung seperti air dengan minyak. Reaktor nuklear sedia ada menghasilkan uranium-235 dan plutonium-239 yang sangat radioaktif. Seperti yang dilihat pada insiden Chernobyl dan Fukushima, apabila berlaku kemalangan kawasan persekitaran tidak boleh diduduki oleh manusia selama ribuan tahun.
Saintis di China mengumumkan mereka kini dalam proses akhir pembinaan reaktor nuklear yang bukan sahaja “bersih” tetapi lebih selamat untuk beroperasi. Ia menggunakan bahan api thorium-232 dalam bentuk garam lebur menggantikan bahan api uranium. Apabila dibedil dengan neutron pada suhu 600 darjah Celsius, ia akan berubah menjadi isotop uranium-233 yang kemudiannya menjalani proses pembelahan nuklear bagi mengubah air kepada stim untuk menjalankan generator.

Satu lagi kelebihan reaktor ini ialah ia tidak memerlukan bekalan air yang banyak untuk sistem penyejukan. Membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik di kawan gurun. Bagi membuktikan teori ini reaktor pertama dibina di bandar Wuwei yang terletak di kawasan gurun berhampiran Mongolia.
Uranium-233 mempunyai separuh hayat 500 tahun sahaja berbanding Uranium-235 yang mencecah 10,000 tahun. Plutonium-239 juga tidak dihasilkan oleh itu tiada isu ia kemudiannya digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear. Maka oleh sebab itulah ia dianggap lebih bersih berbanding reaktor nuklear semasa.
Reaktor prototaip yang sedang dibina di China hanya sebesar 3 x 2.5 meter dengan kemampuan menjana 2 MW tenaga. Sekiranya semuanya berjalan lancar, versi lebih besar dengan output 100 MW akan dibina di seluruh China dan 30 lagi di negara-negara di bawah inisiatif One Belt One Road (OBOR).
Selain membina reaktor thorium ini, China juga secara selari membangunkan reaktor perlakuan nuklear menggunakan teknologi tokamak. Hasilnya China memegang rekod sebagai negara yang berjaya menghasilkan matahari buatan manusia dengan suhu tertinggi pada bulan Mei lalu.
Sumber LiveScience