Carian
Siri Oppo Reno6 Bakal Dilancarkan Di Malaysia Pada 5 Ogos 2021
July 26, 2021 Amy Maizuraa

Teka teki mengenai kemunculan rasmi siri Oppo Reno6 di Malaysia terjawab selepas jenama berkenaan memilih 5 Ogos 2021 sebagai tarikh pelancaran rasminya. Perkara itu dimaklumkan oleh pihak Oppo menerusi perkongsian baharu di laman Facebook rasmi, sebentar tadi.

Acara berkenaan akan diadakan secara atas talian menerusi Youtube dan Facebook rasmi Oppo Malaysia bermula jam 6.30 petang. Pada masa sama, poster turut menunjukkan perancangan Oppo menawarkan 15 unit Oppo Reno6 Z yang akan diberikan menerusi Giveaway yang bakal diadakan sewaktu acara pelancaran tersebut.

Mengulas lanjut mengenai acara pelancaran, terdapat dua model yang akan diperkenalkan iaitu Oppo Reno6 dan Oppo Reno6 Z. Kedua-duanya hadir dengan reka bentuk moden dan premium. Selain itu, ia turut disertakan dengan ciri fotografi menarik – antaranya seperti Bokeh Flare Portrait.

Oppo Reno6 akan dilengkapi cip MediaTek Dimensity 900 bersama bateri dengan pengecasan pantas 65W. Sementara itu, Oppo Reno6 Z pula akan menampilkan cip MediaTek Dimensity 800U dengan bateri yang menyokong pengecasan pantas 30W. Seperti biasa, kami di Amanz akan berkongsi kemaskini selanjutnya berkaitan pelancaran telefon pintar ini – termasuklah penawaran harga rasminya kelak. Nantikan.

Sumber : Oppo Malaysia

Komen