Cari @ Amanz

Motorola telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu di China pada 5 Ogos 2021. Melaluinya, Motorola Edge 20 dan Edge 20 Pro akan membuat kemunculan rasmi. Pelbagai spekulasi telah didengari mengenainya – ini termasuklah sokongan kamera utama 108-Megapixel yang diharap dapat memberikan kemampuan fotografi yang baik pada telefon pintar.

Dalam perkembangan terkini, rekaan untuk Motorola Edge 20 Pro pula diperlihatkan sepenuhnya dalam imej pengolokan tular. Sangkaan meleset, ramai menjangkakan Motorola Edge 20 Pro akan dilengkapi paparan melengkung. Tetapi, imej pengolokan jelas menunjukkan ia menampilkan panel hadapan berlubang bersama skrin sejenis rata. Motorola turut dijangka menggunakan skrin yang sama pada model Edge 20 kelak.

Seterusnya, sistem tri-kamera yang disusun secara menegak turut kelihatan pada panel belakang. Kalau perasan, salah satu daripadanya adalah lensa berbentuk segi empat dan bukannya bulat. Ini mungkin adalah untuk lensa periskop. Dalam pada itu, imej pengolokan juga memberikan petunjuk pengimbas cap jari terbina dalam skrin – ekoran ketiadaan bayangan pengimbas cap jari fizikal di belakang dan sisi.

Turut kelihatan ialah butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Kemudian, butang fizikal khusus yang didedikasikan untuk Google Assistant (mungkin) pada sebelah kiri. Buat masa ini, masih belum ada sebarang maklumat mengenai harga jualan dan tarikh pelancarannya untuk pasaran global.

Sumber : EvanBlass, GSMArena

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd