Facebook Akan Mengurangkan Penyasaran Iklan Untuk Para Pengguna Dibawah Umur 18 Tahun Di Platform Mereka

Diterbitkan pada July 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti yang sedia maklum, Facebook merupakan salah satu daripada platform media sosial yang mempunyai sistem penyasaran iklan paling rumit yang dilihat pada mana-mana platform. Facebook bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk menyaasarkan iklan bergantung kepada maklumat seperti lokasi, jantina dan umur, tetapi juga berdasarkan aktiviti-aktiviti pengguna di laman web lain yang diakses melalui Facebook.

Terkini, selepas mengumumkan bahawa Instagram akan menetapkan akaun pengguna berumur bawah 16 tahun ke mod peribadi secara lalai, Facebook pula mengumumkan bahawa mereka akan mengehadkan penjejakan dan penyasaran iklan untuk para pengguna mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Jika sebelum ini platform-platform dibawah naungan Facebook seperti Facebook Messenger dan Instagram boleh menjejak aktiviti pengguna secara meluas untuk penyasaran iklan yang lebih tepat, perubahan polisi ini bermakna bahawa Facebook hanya akan menjejak pengguna berdasarkan lokasi, umur dan jantina sahaja.

Keputusan ini dibuat kerana pihak Facebook faham bahawa tidak semua pengguna dibawah umur 18 tahun ini faham tentang bagaimana untuk membuat keputusan tentang penjejakan penggunaan mereka untuk tujuan penyasaran iklan.

Ini adalah sebuah keputusan yang cukup menarik daripada Facebook kerana mereka boleh dikatakan satu-satunya platform media sosial yang dilihat sangat agresif dalam penyasaran iklan kepada pengguna, yang mana sebelum ini mereka boleh menjejak corak penggunaan web pengguna yang membuka pautan dan meninggalkan platform media sosial tersebut.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami