Mengapa Samsung Galaxy Note Masih Tiada Galang Ganti

Diterbitkan pada Ogos 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung mengesahkan tahun ini tiada peranti dari siri Galaxy Note akan dilancarkan. Sekaligus menjadikan kali pertama sejak 2011 peranti yang memperkenalkan rekaan phablet dengan stylus ini tidak ditawarkan kepada pengguna. Sebagai peminat tegar Note, harus saya katakan tindakan Samsung ini mengecewakan tetapi saya memahami mengapa ia dilakukan.

Ia sebuah peranti yang terlalu niche dengan jumlah peminat tegar yang kecil. Akibatnya jualan peranti tidak dapat menandingi siri Galaxy S yang turut dihasilkan Samsung. Jika dahulu jumlah peranti dengan sebesar 6″ boleh dikira dengan sebelah tangan, kini saiz 6.5″ sudah menjadi saiz standard 90% peranti Android yang dipasarkan. Ciri unik skrin yang lebih besar dari telapak tangan tidak lagi eksklusif kepada Galaxy Note.

Kemudian kita berhadapan pula dengan isu stylus. Walaupun disertakan dan dianggap perlu, ikhlas saya katakan ia mungkin tidak digunakan untuk 90% aktiviti harian. Stylus S-Pen ialah seperti Air Fryer yang popular ketika di awal PKP tetapi kini mengumpul debu bersebelahan mesin memproses jus buah, pembuat roti dan Thermomix yang turut tular beberapa bulan yang lalu.

Jadi sekiranya skrin besar dan stylus bukanlah ciri yang benar-benar perlu untuk 90% pengguna di luar sana, mengapa selepas ia ditawarkan sebagai aksesori tambahan sekalipun, ia gagal menarik minat pengguna Galaxy Note untuk berhijrah ke S21 Ultra?

Galaxy Note 9

Jawapannya adalah mudah kerana rekaan siri Note adalah unik. Sebagai pengguna setia Galaxy Note sejak 2011, S Pen terbina ialah ciri unik yang tidak disokong pada peranti lain. Memang ada peranti pesaing seperti LG Stylo dan Infinix Note 5 tetapi kesemuanya bukan peranti mercu. Malahan stylus yang digunakan juga tidak setanding dengan yang diberikan pada siri Note.

Meletakkan S Pen semata-mata tidak menjadikan peranti tersebut sebuah Note. Galaxy S21 Ultra hadir dengan kerangka yang dilengkapi S Pen terbina. Tetapi ia menyebabkan peranti menjadi terlalu lebar kerana tempat simpanan tambahan pada sisi kiri.

S Pen perlu ditarik sendiri secara manual tanpa mekanisme berspring yang diperkenalkan sejak Galaxy Note 5. Adalah sukar untuk kembali kepada rekaan S Pen ditarik secara manual selepas sudah bertahu membiasakan diri dengan rekaan berspring yang jauh lebih baik.

Samsung Galaxy Note 9 Live Messaging

Seterusnya ialah kerangka dengan S Pen rasmi dari Samsung dalah antara kerangka mahal yang paling tidak berbaloi pernah saya digunakan. Kerangka silikonnya tidak cukup tebal jika dibandingkan dengan kerangka tahan lasak Spigen yang saya gunakan pada Galaxy Note20 Ultra, Note10, Note9 dan Note8 sebelum ini.

Seterusnya ialah pada Galaxy S21 Ultra, Air Command tidak muncul pada skrin secara automatik apabila S Pen dikeluarkan. Sekali lagi pengguna perlu melakukannya secara manual. Kesemua implementasi S Pen pada Galaxy S21 Ultra adalah langkah ke belakang dan terasa seperti melepaskan batok di tangga.

Selepas hampir 6 bulan, bahagian silikon bawah sudah menggelebeh dan longgar. Permukaan bawah Galaxy S21 Ultra yang dimiliki kini tidak akan dilindungi dengan baik sekiranya terjatuh. Ia juga tidak cukup tebal berbanding kerangka keluaran Spigen, Otterbox atau Mous yang dijual pada harga yang sama. Tiada span penyerap hentakan pada bucu dan belakang disertakan seperti Spigen, Tiada bibir tinggi pada dahi, dagu dan sisi untuk mengelakkan skrin menyerap hentakan jika terjatuh di permukaan lantai.

Dari semua aspek, kerangka rasmi dari Samsung adalah mengecewakan.Sebagai pengeluar peranti, apa alasan Samsung untuk mengeluarkan kerangka rasmi yang tidak sebaik dikeluarkan oleh pihak ketiga?

Jadi apabila kerangka untuk Galaxy Fold3 dengan S-Pen tertiris, saya boleh katakan ia akan memberikan pengalaman yang tidak sebaik yang dapat dinikmati pada Note20 Ultra tahun lalu. Stylus pada Galaxy Fold3 perlu ditarik ke atas. Dengan peranti sudahpun bersaiz gergasi, proses menaik keluar stylus pastinya akan menjadi lebih sukar berbanding pada Galaxy S21 Ultra.

Jika Samsung serius ingin mematikan siri Galaxy Note, mereka perlu lebih serius mendengar maklum balas dari peminat-peminat yang tegar. Implementasi separuh jalan hanya membuang masa dan sekadar menambah kos peranti skrin dengan teknologi Wacom yang lebih mahal.

Tindakan tidak menghormati peminat sudahpun mengorbankan HTC, Sony, Nokia dan OnePlus. Kesemua pengeluar ini bersalah dengan tidak mendengar apa yang dimahukan oleh pengguna. Saya ada ramai rakan pengguna Note yang sudah bersedia untuk berpindah ke iPad Mini kelak jika Samsung gagal menawarkan apa yang mereka mahukan. Umum kita ketahui jika ada yang sudah berpindah ke Apple, jarang sekali akan kembali kepada Android.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami