Cari @ Amanz

Speaker pintar Huawei Sound X baharu dilancarkan semalam serentak dengan siri Huawei P50. Model tahun ini mempunyai rekaan tubuh berlampu yang mampu memaparkan lapan warna berbeza yang bergerak mengikut rentak muzik yang didengari. Sekilas pandang ia mengingatkan kami kepada rekaan tiub vakum yang digunakan pada sistem audio mewah.

Bentuk tubuh masih lagi sama dan dilengkapi juga dengan lapan pemandu audio. Empat pemandu audio biasa dengan kuasa 5W dipadankan dengan satu tweeter 3W, satu subwoofer utama 50W yang menembak ke bawah dan dua pemandu bass pasif yang menembak ke sisi. Dengan konfigurasi ini, Sound X boleh menawarkan audio 360 darjah kepada pendengar.

Seperti speaker pintar lain di pasaran, Sound X boleh berfungsi secara berpasangan untuk audio stereo atau empat speaker untuk audio yang lebih menyeluruh. Dengan HarmonyOS, ia mudah dipadankan dengan peranti lain Huawei seperti skrin pintar Vision S dan telefon pintar di rumah. Arahan suara juga boleh diberikan untuk menjadikannya pusat kawalan peranti berhubung.

Penstriman audio secara nirwayar menggunakan codec LDAC dan L2HC juga disertakan bersama dengan sambungan kabel 3.5mm. Di China Huawei Sound X versi baharu ini dijual pada harga RMB 2199 (~RM1433) sebuah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd