Xiaomi masih belum sudah melancarkan peranti pada tahun ini. Terkini, mereka dilaporkan sudah bersedia untuk melancarkan peranti yang menyokong UWB dan juga menggunakan teknologi kamera bawah skrin.
Kali pertama peranti dengan teknologi UWB mereka diperlihatkan adalah pada Oktober tahun lepas, di mana Xiaomi akan mengintegrasikan penggunaan UWB bersama Mi Home untuk kawalan peranti berhubung dan barangan rumah pintar secara lebih efisien.

Selepas dua peranti ZTE hadir dengan teknologi bawah skrin, sudah tentu Xiaomi berasa gerun dan ingin menawarkan peranti mereka dengan teknologi sama. Melalui XDA, beberapa peniris terkenal mengesahkan yang peranti dengan kod nama Odin serta nombor model K8 adalah peranti tersebut.
Ia akan dijana dengan cip Snapdragon 888, menggunakan sistem tri-kamera 50+48+48 Megapixel, dan juga skrin melengkung di kedua-dua sisi peranti. Peranti ini dijangka adalah dalam kategori Mi MIX, kerana itu adalah model yang biasanya Xiaomi menguji inovasi mereka untuk peminat cuba.
Semasa ujian kamera bawah skrin dan UWB dilakukan, Xiaomi menggunakan model Mi 10 Ultra yang telah diubahsuai. Turut tidak pasti sama ada peranti ini akan dihadkan penjualan di China atau akan ada model baharu peranti mercu dilancarkan peringkat global.
Samsung bakal melancarkan siri Galaxy Z mereka tidak lama lagi. Mungkin ini adalah peranti yang Xiaomi cuba lawan. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.