Microsoft mengumumkan harga langganan untuk perkhidmatan Windows 365 mereka bagi pengguna perniagaan dan perindustrian semalam. Bergantung kepada spesifikasi yang dilanggan, harga bayaran bulanan bermula dari RM84 sebulan untuk Windows 365 Enterprise satu teras maya dengan 2GB RAM dan storan 64GB. Windows 365 Enterprise ialah untuk syarikat dengan lebih 300 kakitangan.

Harga langganan meningkat ke RM663.60 sebulan untuk Windows 365 Enterprise lapan teras maya dengan 32GB RAM dan storan 512GB. Turut ditawarkan ialah Windows 365 Business sehingga 300 pengguna pada harga dan spesifikasi komputer awanan yang sama.
Windows 365 ditujukan kepada pengguna perusahaan, dan hadir dengan pembayaran langganan bulanan. Ciri ini juga akan memudahkan anda mengakses sesi komputer anda pada sebarang peranti dengan mudah – sekaligus menyelesaikan tugasan pada bila-bila masa.
Windows 365 distrim melalui Azure Virtual Desktop. Perusahaan boleh menetapkan kuasa pemprosesan, memori sehingga 32GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Perusahaan juga boleh menjana Cloud PC dalam masa kurang seminit, dan memberikan akses kepada pekerja dengan mudah dan pantas.
Menerusi Windows 365, pelanggan boleh menggunakan sebuah komputer Windows di atas talian pada peranti Android, iOS, Windows, macOS dan Linux hanya menerusi sebuah pelayar web.
Ini adalah sama seperti penawaran xCloud mereka yang menawarkan sebuah Xbox masa terus dari pelayar web sebelum ini. Sedang syarikat lain memberikan tumpuan kepada perkakasan fizikal, Microsoft melihat masa depan mereka ialah pada perkhidmatan awanan bulanan.