Google Meninggalkan Snapdragon – Membangunkan Cip Tersendiri Dinamakan Tensor Untuk Pixel 6

Diterbitkan pada Ogos 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google hari ini telah berkongsi beberapa gambar awal untuk Pixel 6 dan Pixel 6 Pro yang akan hadir tidak lama lagi. Menariknya mengenai kedua-dua peranti ini adalah ia dijana dengan cipset Google tersendiri, dinamakan sebagai Google Tensor.

Buat masa ini, pihak Google tidak berkongsi sepenuhnya berkaitan dengan cip pemprosesan mereka – dari segi spesifikasi, binaan dan sebagainya.

Google Tensor

Cipset Google Tensor ini dijangka akan membawakan beberapa ciri tambahan yang memfokuskan kepada pemprosesan melibatkan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Dengan langkah ini, ia akan menawarkan pemprosesan gambar dan video lebih baik, selain menawarkan prestasi yang sangat pantas untuk terjemahan pada peranti, dan ciri seperti pengecaman suara.

Google Tensor

Sebelum ini Google sedia menggunakan nama Tensor Processing Unit untuk perkomputeran awan mereka, selain TensorFlow untuk pembelajaran mesin.

CEO Google mengatakan mereka telah mengambil masa sekitar 4 tahun untuk pembangunan cip mereka ini.

Google masih tidak berkongsi rakan kerjasama pengeluaran mereka. Sebelum ini, ia diperkatakan Samsung mungkin menghasilkan cip pemprosesan Google ini.

Apa pun, sama-sama kita nantikan dalam beberapa bulan lagi untuk mengetahui lanjut berkenaan cip SoC yang digunakan Google ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami