Xiaomi pada suku kedua 2021 yang lepas, telah pun melangkaui Apple, dan menduduki tangga kedua dari segi pengeluaran telefon pintar. Malah, pada Jun 2021 sahaja, ia memperlihatkan Xiaomi melangkaui Samsung untuk sementara dan menduduki tangga pertama pengeluar peranti seluruh dunia.
Apa pun, hari ini, Lei Jun ketika acara pelancaran Mi Mix 4 menekankan yang mana tugas Xiaomi sekarang adalah untuk kekal ditangga kedua dan mempertahankan kedudukan berkenaan.

Ini sekaligus memberikan petanda yang mana ia masih sukar untuk mencabar Samsung buat masa ini, dan tidak memandang remeh persaingan yang turut dibawakan oleh Apple.
Untuk makluman, sebelum ini sendiri Xiaomi sedia menekankan yang mana mereka menyasarkan tangga kedua pengeluar peranti pada 2021, dan tidak membuat sasaran nombor satu.
Langkah ini mungkin lebih realistik dan tidak membuat sasaran membuta-tuli, seterusnya tewas begitu sahaja.
Pada masa yang sama, sekitar tujuh tahun lepas, Lei Jun turut pernah menyasarkan untuk menjadi jenama telefon pintar nombor satu dunia dalam tempoh sekitar 10 tahun, dan kini ia dilihat sasaran berkenaan semakin hampir kepada realiti.