Cari @ Amanz

Menurut data dari Canalys minggu lalu, Xiaomi berada di tangga kedua pengeluar telefon pintar terbesar dunia pada suku kedua 2021. Ini adalah pencapaian yang menakjubkan bagi syarikat yang hanya mula mengeluarkan telefon pintar sejak 2011. Lebih menakjubkan bagi saya ialah ia dilakukan tanpa Xiaomi melanggar prinsip asal mengapa mereka mula mengeluarkan peranti.

Xiaomi pada tahun 2018 mengumumkan akan hanya mengambil keuntungan maksimum 5% dari kos menghasilkan produk keluaran mereka. Tahun demi tahun mereka konsisten dalam bukan sahaja melancarkan telefon pintar yang mampu milik tetapi dengan spesifikasi yang lebih kompetitif berbanding peranti pesaing yang dijual pada harga setanding. Penetapan harga yang mesra dompet ini turut dapat dilihat pada powerbank, aksesori, televisyen dan banyak lagi produk keluaran Xiaomi di peringkat global.

Xiaomi Lei Jun

Tahun lalu saya untuk siri #Seratus21, saya menulis bahawa 2021 adalah tahun yang amat penting bagi Xiaomi. Pandemik yang memusnahkan kuasa membeli oleh sebilangan besar penduduk dunia membuka peluang sekali setiap generasi kepada Xiaomi untuk memintas Apple. Ini sudahpun berlaku dan dengan hanya perbezaan 2% dalam pegangan pasaran pada suku yang lalu, tidak mengejutkan jika mereka akan turut memintas Samsung menjelang penghujung tahun ini.

Hanya dua tahun yang lalu mereka di tangga ke-empat dengan pegangan 9.2% pengeluaran telefon pintar sepanjang 2019. Samsung, Huawei dan Apple jauh di hadapan masing-masing dengan pegangan 21.6%, 17.6%, dan 13.9%. Data yang paling menarik dalam laporan Canalys ialah Xiaomi mencatatkan peningkatan pengeluaran 83% berbanding suku yang sama 2020.

Bagi yang mengatakan ini sudah dijangka kerana sekadar normalisasi pasaran pasca pandemik, Oppo yang merupakan syarikat dengan peningkatan pengeluar kedua terbesar sekadar mencatatkan kenaikan 28% berbanding suku yang sama tahun lalu sementara Apple sekadar 1%. Jelas peningkatan pengeluar Xiaomi adalah anomali dan ia disebabkan oleh strategi pemasaran mereka yang unik serta kekosongan besar yang ditinggalkan oleh Huawei selepas menjadi mangsa perang perdagangan US-China.

Dalam kesemua segmen, peranti Xiaomi bersama dengan subjenama Poco dan Redmi ditawarkan pada harga yang jauh lebih mesra poket. Seperti yang dapat dilihat di Malaysia, sepanjang PdPR dijalankan, ramai ibu bapa serta penjaga mencari peranti yang paling berbaloi-baloi. Secara konsisten peranti Xiaomi, Poco dan Redmi akan muncul dalam senarai patut dibeli termasuk yang dihasilkan oleh laman Amanz sendiri. Malahan semasa berlaku insiden peranti PdPR meletup secara rawak, Xiaomi Malaysia dengan pantas memberikan peranti gantian kepada adik yang terkesan.

Ada yang sinis mengatakan ia “langkah PR yang bijak” tetapi baca sahaja komen orang ramai yang ditinggalkan. Semua setuju walaupun dilabel “murah”, peranti gantian Redmi Note 10 5G dilihat jauh lebih baik berbanding peranti yang diterima menerusi skim Prihatin.

Strategi murah tetapi bagus ini bukanlah inovasi yang dicipta oleh Xiaomi. Sebenarnya telah wujud sejak manusia mula bergelumang dalam penghasilan produk pada skala massa. Henry Ford mencipta teknik perkilangan yang membolehkan banyak kereta dihasilkan pada harga yang rendah dan masa yang singkat. Stalin pula berkata ada kualiti juga ada kuantitinya tersendiri ketika Perang Dunia Kedua.

Dengan impak jangka pendek pandemik Covid-19 ke atas ekonomi dunia hanya akan reda dalam masa dua tahun, Xiaomi berada di kedudukan paling selesa untuk mengembangkan pegangan mereka dalam industri telefon pintar. Harga peranti mereka mesra dunia pandemik tanpa pemotongan ciri-ciri perlu yang dilakukan pengeluar lain untuk mengurangkan harga.

Xiaomi pada awalnya dilabel syarikat cap ayam yang menjual peranti yang tidak tahun lama. Reputasi buruk yang masih saya dengari walaupun kualiti mereka sudah bertambah baik jika dibandingkan dengan zaman awal penubuhan. Mereka turut dilabel syarikat penipu yang sekadar tiru dan tampal apa yang dilakukan oleh pengeluar lain. Imej ini sedikit demi sedikit dipulihkan dengan pengenalan lensa cecair pada Mi MIX Fold dan skrin sekunder belakang pada Mi 11 Ultra.

Masa depan Xiaomi untuk menjadi pengeluar peranti nombor satu dunia terletak di tangan mereka sendiri. Situasi kini sempurna bagi mereka mengambil kesempatan penuh. Xiaomi membuktikan pengeluar tak perlu tamak mengejar keuntungan untuk mencapai kejayaan. Jarang sekali ini berlalu di dunia sebenar dan apabila ia berlaku saya hanya boleh menepuk tangan. Dengan mereka akan mengeluarkan pula kereta elektrik pada harga mampu milik, masa depan Xiaomi nampak semakin bergemerlapan.

Apabila (dan bukan sekiranya) mereka di atas kelak, saya hanya berharap mereka meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Saranan yang boleh diberikan ialah memberi juga kemas kini versi Android selama tiga tahun untuk kekal kompetitif.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd