Google hari ini memperkenalkan beberapa perubahan pada polisi dan pengendalian data pengguna bawah umur. Kesemuanya dilakukan bagi memastikan keselamatan dan hak asasi mereka tidak terjejas. Perkara paling utama ialah individu bawah 18 tahun atau penjaga mereka boleh memohon supaya wajah mereka tidak dipaparkan apabila carian Google Images dilakukan. Ini adalah kerana individu bawah umur tidak boleh memberikan kebenaran untuk gambar mereka dipaparkan di arena web. Bagi menghormati hak asasi mereka permohonan gambar tidak dipaparkan kini dibuka.

Selain itu data pengguna bawah umur juga tidak lagi akan digunakan untuk pengiklanan. Tiada lagi iklan boleh disasarkan kepada mereka berdasarkan umur, jantina, sejarah penggunaan Internet dan lokasi seperti pengguna dewasa.
Carian SafeSearch juga akan diaktifkan secara lalai bagi pengguna bawah 18 tahun bagi menyaring kandungan yang tidak sesuai dengan umur mereka. Sebelum ini tetapan automatik ini hanya diaktifkan pada pengguna bawah 13 tahun.
Saringan kandungan yang lebih baik turut akan diperkenalkan apabila menggunakan Assistant bagi mengelakkan carian yang tidak sepatutnya dipaparkan muncul secara tidak sengaja.

Maklumat lokasi turut dinyahaktifkan pada pengguna bawah 18 tahun pada peringkat global dan tidak boleh dihidupkan langsung. Ini sekali lagi bagi mengelakkan penjejakan tanpa kebenaran.
Seperti yang kami laporkan hari ini, YouTube dan YouTube Kids juga dikemaskini bagi memastikan keselamatan pengguna seperti menghalang pengiklanan, ciri autoplay, video diperibadikan secara lalai dan peringatan untuk tidur.
Akhir sekali pada Play Store, maklumat lebih terperinci mengenai penggunaan data dan apakah yang boleh diaksesi aplikasi akan dipaparkan. Dengan maklumat ini ibu bapa atau penjaga boleh mengetahui sama ada aplikasi sesuai digunakan oleh anak-kanak di bawah jagaan mereka.