Xiaomi kini dalam perancangan untuk hadir dengan penawaran telefon pintar baharu menerusi model Redmi 10. Kehadirannya juga telah sedia diacah menerusi beberapa poster acah rasmi dengan berkongsi beberapa ciri utama yang bakal dibawakan oleh model berkenaan.

Antaranya seperti – skrin FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz dan kuad-kamera bersama sensor utama 50MP. Ia juga akan mempunyai rekaan modul kamera yang agak unik di belakang, disamping panel hadapan yang menggunakan skrin berlubang.
Dalam perkembangan terkini, Xiaomi turut mengesahkan bahawa Redmi 10 akan dikuasakan oleh cip pemprosesan terbaru keluaran MediaTek iaitu Helio G88. Cip ini adalah tambahan terbaru untuk barisan siri MediaTek Helio G, selain merupakan penambahbaikan dari Helio G85.
Ia juga mempunyai cip lapan-teras dengan dua pecahan kluster menerusi dua CPU Cortex-A75 2.00 Ghz dan enam teras CPU Cortex-A55 yang turut dipadankan dengan GPU Mali-G52 MC2.

Perkongsian terbaru ini nampaknya selari dengan desas-desus tular sebelum ini yang mengatakan Redmi 10 akan dijana dengan cip berkenaan. Bukan itu sahaja, ia turut dikhabarkan menyokong memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi untuk telefon pintar ini masih tidak diketahui lagi. Sama-sama kita nantikan.
Sumber : Xiaomi Global