Selepas Jeff Bezos ke angkasa lepas untuk seketika menggunakan roketnya, dia telah menawarkan NASA diskaun sebanyak $2 bilion untuk mendapatkan kontrak pendarat bulan Artemis yang dianggarkan bernilai $2.9 bilion.
Tawaran dari Blue Origin hadir sewaktu NASA dilaporkan mahu memilih SpaceX sebagai syarikat yang akan bertanggungjawab untuk membangunkan pendarat bulan tersebut. Kini, NASA dilihat sudahpun membuat pilihan mereka, dan nampaknya Blue Origin tidak begitu berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Pada hujung minggu lepas, Blue Origin dilaporkan telah menyaman NASA kerana penilaian cadangan yang tidak betul. Apa yang menarik di sini ialah NASA sudahpun mengesahkan pilihan mereka, tetapi kehilangan kontrak yang besar seperti ini mungkin bukan sesuatu yang mahu dilihat oleh Blue Origin, khususnya Jeff Bezos yang telah melaburkan sejumlah wang yang banyak pada syarikat tersebut.
NASA juga diberi masa sehingga Oktober 12 untuk menjawab tuntutan saman tersebut, dan ia akan menjadi sebuah kes yang menarik khususnya kerana NASA tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menerima tawaran daripada Blue Origin untuk projek pendarat bulan Artemis tersebut.
Sumber: The Guardian