Rekaan antaramuka yang rata dipopularkan sekitar tujuh tahun lalu oleh Google menerusi Material Design. Kini rekaan rata menjadi trend semasa pula pada produk elektronik seperti dapat dilihat pada iPhone 12, iPad Pro, iMac M1 dan juga pada Galaxy Z Flip3. Trend ini akan turut merebak pada Apple Watch pula jika lukisan CAD yang tertiris di laman 91Mobiles adalah benar.
Laman berkongsi lapab imej lukisan CAD yang didakwa adalah untuk Apple Watch Series 7. Sisi jam tangan pintar ini rata dan sekali lagi menggunakan rekaan yang diperkenalkan Apple pada iPad Pro terlebih dahulu. Ia seakan mengesahkan maklumat yang ditiriskan oleh Jon Prosser pada Mei lalu.
Selain itu skrin juga rata dan tidak lagi 2.5D seperti dahulu. Butang kawalan fizikal dan pemutar digital kekal di sisi kanan. Sekilas pandang ia amat mirip dengan Mi Watch Lite. Apapun jam tangan pintar ini pastinya akan dilancarkan dalam masa terdekat dan mungkin evolusi yang diperlukan kerana rekaan fizikal Apple Watch tidak pernah diubah sejak dilancarkan pada tahun 2015.