Cari @ Amanz

Apakah trend rekaan semasa di Apple? Jawapannya ialah rata seperti landasan kapal terbang. Sebelum ini Jon Prosser mendedahkan rekaan MacBook Air baharu yang mempunyai sisi rata seperti iPad Pro dan iPhone 12. Hari ini beliau meniriskan pula rekaan Apple Watch Series 7 dengan rekaan yang juga serupa.

Menurut beliau Apple Watch Series 7 bukan sahaja mempunyai tubuh berkotak tetapi juga skrin yang rata. Pada waktu ini rekaan tubuh Apple Watch Series 6 masih lagi sama seperti generasi pertama dengan sisi dibulatkan lengkap dengan skrin yang sedikit menggelembung.

Tombol kawalan sisi dan butang fizikal masih dikekalkan pada sisi kanan begitu juga dengan rekaan lurah untuk tali jam. Dengan ini aksesori tali jam sedia ada besar kemungkinan serasi digunakan dengan Series 7 kelak. Perubahan rekaan yang drastik sekiranya benar tidak mengejutkan kerana Apple memerlukan rekaan baharu yang lebih segar.

Seperti yang boleh dilihat pada iMac dengan cip M1 baharu, Apple kini lebih selesa menggunakan warna yang lebih ceria berbanding rekaan steril yang kerap dikaitkan dengan Jony Ive sebelum beliau meninggalkan syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd