Dua bulan lalu, Google dan Jio telah mengumumkan kerjasama untuk hadir dengan telefon pintar mampu milik JioPhone. Ia bukannya peranti Pixel atau Android One, sebaliknya sebuah peranti Android mampu milik yang menjalankan Android Go. Ia juga disasarkan untuk dijual secara lebih meluas dan bukan terhad di India sahaja.

Peranti ini adalah JioPhone Next dan baru-baru ini spesifikasi peranti ini telah tertiris. Ia didakwa hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci HD, hanya menyokong LTE dan dijana oleh cip Qualcomm Snapdragon 215. Gandingan memori adalah mencapai 3GB RAM dengan storan dalaman sehingga 32GB jenis eMMC 4.5.

Perisian adalah Android 11 Go, sensor kamera utama adalah 13MP OmniVision dengan kamera swafoto 8MP, serta bateri 2500mAh. Peranti dengan nombor model LS-5701-J ini dikatakan mungkin dijual pada harga sekitar Rs. 3,499 iaitu dalam lingkungan RM200 sahaja.
Kita mungkin akan tahu perkembangan lanjut tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.