Cari @ Amanz

Awal tahun ini Oppo telah melancarkan siri Oppo Reno5. Belum cukup usian setahun, penggantinya Oppo Reno6 telah dilancarkan. Oppo Malaysia menawarkan ketiga-tiga variasi iaitu Oppo Reno6 Z, Oppo Reno6 dan juga Oppo Reno6 Pro. Selepas kami mengulas Oppo Reno6 Z, Reno6 Pro pula tiba ke makmal Amanz untuk diuji. Apakah beza antara Reno5 Pro dengan yang baru? Adakah berbaloi untuk naik taraf? Ini adalah ulasan kami selepas hampir dua minggu menggunakannya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo Reno6 Pro
Skrin6.5″ AMOLED, FHD+, 90Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass 5
PemprosesSnapdragon 870 (7nm)
Cip1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM12GB + 7GB Maya
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP (utama) f/1.8
16MP (ultra sudut lebar) f/2.2, sudut pandangan 119°
13MP (telefoto) f/2.4
2MP (makro0 f/2.4
Bokeh Flare Portrait Video
AI Highlight Video
Kamera Swafoto32MP, f/2.4
Bateri4,500mAh
Dwi-Sel, Berwayar
SuperVOOC 2.0 65W
SIM/Telefoni/NFCDwi SIM nano / 5G / Ya
Pembesar SuaraStereo
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM2,999

Sekilas pandang, rekaan Oppo Reno6 Pro ini seakan tiada beza dengan Oppo Reno5 Pro. Hanya jika anda lihat dengan teliti pada bahagian kamera saiz pada Reno6 Pro adalah lebih besar, lampu LED flash juga berbeza dan akhir sekali kemasan pada panel belakang. Walaupun begitu, peranti ini masih dipadatkan dengan spesifikasi berkuasa dan boleh dikatakan satu naik taraf yang gila jauh berbanding Reno5 Pro.

Skrin masih sama dan tiada beza, iaitu 6.5-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ melengkung. Ia turut masih menyokong kadar segar semula 90Hz, tetapi kini mempunyai sokongan paparan HDR10 – HEVC pada Netflix. Walaupun Dimensity 1000+ pada Reno5 Pro dengan Snapdragon 870 pada Reno6 Pro lebih kurang sama berasaskan 7nm, rekaan cip Snapdragon adalah lebih efisien serta SD870 ini adalah satu iterasi cip SD865+ yang diperbaharui. Spesifikasi Snapdragon 870 ini adalah 1 x 3.2 GHz Kryo 585 + 3 x 2.42 GHz Kryo 585 + 4 x 1.80 GHz Kryo 585 berserta GPU Adreno 650.

Tidak berhenti di situ, menjadikan peranti baharu ini lebih berkuasa adalah memori 12GB RAM serta tambahan 7GB RAM maya melalui Color OS 11.3 baharu, menjadikan jumlah RAM adalah 19GB. Storan dalaman adalah berasaskan UFS 3.1 bersaiz 256GB.

Konfigurasi kamera peranti ini adalah 50+16+13+2 Megapixel daripada sensor sudut lebar biasa untuk utama, sensor sudut ultra lebar, sensor telefoto 2x zum optikal dan sensor makro. Kamera swafoto pula adalah 32 Megapixel.

Secara keseluruhan, rekaan peranti masih sama. Tidak ada kejutan rekaan yang memberikan perasaan WOW!. Warna Arctic Blue yang saya terima ini terlampau ceria dan bukan kesukaan saya. Walaupun begitu kemasan kusamnya memberikan genggaman yang baik di tangan serta apabila peranti memanas, ia tidak begitu panas dengan panel kaca yang berkilat.

Di atas yang hampir rata ini hanya terdapat lubang mikrofon, di bawah pula lebih melengkung dengan kekisi pembesar suara di belah kanan dan lubang USB-C dan mikrofon serta slot kad SIM. Di kanan peranti adalah butang aras suara dan di kiri adalah butang kuasa. Skrin hadapan melengkung, saya kurang gemar kerana mengganggu pengalaman menonton. Di atas skrin bahagian bezel ada kekisi ganggang telefon yang juga merupakan pemebsar suara. Keseluruhan skrin peranti cukup seksi dengan bezel yang giula nipis seakan nirbingkai, cuma spoil lubang kamera pada skrin yang masih ada.

Penggunaan Dan Perisian

Kualiti skrin peranti ini cukup baik, boleh dikatakan hampir setaraf dengan Oppo Find X3 Pro. Cuma warnanya yang sedikit kurang cerah dan mod kecerdasan buatan yang menentukan kecerahan skrin secara automatik tidak begitu konsisten. Lain-lain ia boleh dikatakan cukup memadai dan berkualiti tinggi.

Kadar segar semula 90Hz ternyata juga sudah memadai. Saya tidak rasa rindu pada 120Hz selepas menguji pelbagai peranti 60Hz dan 90Hz sejak kebelakangan ini. Peranti Oppo cukup lancar dan pantas, pada setiap tatalan dengan pera,ihan animasi yang cantik daripada Color OS 11.3. Skrin AMOLED peranti ini juga masih mampu memberikan warna yang hidup, kualiti HDR10 yang cukup untuk skrin FHD+.

Bermain permua pada peranti ini memberikan satu pengalaman yang gila hebat. RAM 12GB berserta 7GB tambahan yang diambil daripada storan dalaman digandingkan pula dengan cip pemprosesan Snapdragon 870 daripada Qualcomm yang terbukti berkali-kali dalam ujian di makmal Amanz – cukup berkuasa! Bayangkan kalau 8GB RAM dengan cip ini sudah memuaskan, apatah lagi yang menghampiri 20GB? Apex Legend dan Asphalt 9 berserta berkali-kali menguji skor penanda aras peranti tidak memanas dan selepas selesai kembakli ke skrin utama atau tukar ke aplikasi media sosial masih beroperasi dengan baik dan menakjubkan.

Color OS 11 adalah antara yang terbaik. Dengan kombinasi ciri dan fungsi menarik Oppo bersama-sama dengan Android asli, ia adalah antara sistem operasi kegemaran saya. Pengalaman penggunaan menghampiri Android asli yang ditawarkan juga masih mencukupi dan pada hemat saya satu cubaan yang baik.

Pada Reno6 Pro ini ia menjalankan versi lebih baharu, iaitu Color OS 11.3. Selain mampu menambah 7GB lagi RAM, kali ini ia lebih ceria dan menarik memberikan satu pengalaman yang lebih tenang. Pilihan gambar yang menarik, fungsi tangkapan layar yang lebih mudah dan mengurangkan beban dan juga mod AOD yang dipinjam daripada Oxygen OS 11.

Membuatkan saya menggemari peranti ini adalah enjin getarannya yang lebih baik. Oppo menggunakan motor linear paksi-X dengan sistem haptik yang sangat baik. Sungguh selesa dan realistik. Menaip pada Gboard, menatal pada pelancar, dan menerima notifikasi adalah amat memuaskan. Ia menghampiri iPhone, sayang sekali integrasinya tidak begitu menyeluruh. Apa pun, saya boleh menaip artikel pada peranti ini dengan selesa tanpa rasa bosan atau jari penat.

Prestasi Dan Skor Penanda Aras

Untuk membuktikan yang 7GB RAM maya ini bukanlah satu gimik, saya menguji beberapa kali dengan ujian pertama 12GB RAM sahaja pada AnTuTu dan Geekbench. Kemudian ujian kedua dengan tambahan RAM maya. Memandangkan sesi permua saya pada Apex Legend dan Asphalt 9 dengan tetapan tinggi tiada sebarang masalah, skor yang diperolehi ini pada saya adalah skor yang benar.

Di AnTuTu dengan 12GB RAM skornya adalah 631,974, manakala dengan 19GB RAM skornya adalah 666,803. Geekbench 5 dengan 12GB menerima skor 938/2980 untuk satu teras dan multi-teras, manakala 19GB RAM menerima 1010/3100. Untuk AnTuTu hanya sekitar 5%-6% peningkatan, dengan Geekbench memperlihatkan 17%-18% peningkatan satu teras dan sekitar 4% sahaja peningkatan untuk multi-teras.

Semasa pelancaran, Oppo mendakwa permua Genshin Impact boleh dimuatkan dua kali ganda lebih pantas. Dalam ujian yang saya lakukan, di dalam mod permua dan RAM tambahan, beza masa memuat antara 12GB RAM (1 minit 17 saat) dan 19GB RAM (56 saat) adalah sekitar 21 saat. iPhone 11 Pro Max mampu memuat pada 36 saat, Asus ROG Phone 5 pula 42 saat.

Telefoni Dan GPS

Sepanjang tahun ini, pengalaman telefoni terbaik saya untuk kedua-dua penggunaan data mudah alih dan juga panggilan telefon adalah Asus Zenfone 8 Flip. VoLTE pada Maxis juga disokong. Peranti lain yang boleh diterima adalah Mi 11, tetapi data tidak begitu baik, iPhone 12 Mini saya dengan iOS 15 beta ada masalah rangkaian, Poco F3 tersenyum sahajalah, tetapi Oppo Reno6 Pro ini sedikit berbeza.

Ia menyokong VoLTE tetapi amat tidak stabil. Tangan bergegar sedikit (perumpamaan yang dramatik) terus kembali 4G biasa. Penggunaan 4G peranti ini cukup baik dan memuaskan. Muat turun stabil dan penstriman juga tiada masalah pada resolusi tinggi. Panggilan telefon juga cukup jelas.

Penggunaan GPS pada peranti baik sahaja. Boleh dikatakan setaraf peranti mercu seperti Mi 11.

Kamera

Oppo setiap tahun tidak berhenti terus membangunkan teknologi kamera tersendiri. Walaupun mereka yang pertama mengumumkan teknologi kamera di bawah skrin, tetapi mereka masih tidak menawarkan peranti dengan teknologi itu. Oppo juga semakin hebat dalam perisian dengan mengikut jejak langkah Google untuk menggunakan kecerdasan buatan pada aplikasi kamera.

Aplikasi kamera Oppo yang ringkas dan mudah digunakan ini adalah untuk mengawal sensor-sensor 50MP (utama) dengan bukaan f/1.8, sensor sudut ultra lebar 16MP dengan bukaan f/2.2 yang mempunyai sudut pandangan 119° darjah, sensor telefoto 2x zum optikal 13MP dengan bukaan f/2.4 dan akhir sekali di belakang adalah sensor makro 2MP jenis mono dengan bukaan f/2.4. Kamera swafoto pula adalah 32MP dengan bukaan f/2.5. Daripada 64MP turun menjadi 50MP, tetapi kini ada sensor tambahan yang lebih berguna. Oppo juga kali ini memfokuskan kepada dua ciri video baharu – Bokeh Flare Portrait Video dan AI Highlight Video.

Pertama sekali, hasil kamera swafoto peranti ini tidak begitu baik jika tidak menghidupkan AI atau mod kecantikan. Hasil imej akan menjadi sedikit pudar, malah apabila AI dihidupkan hasil majoriti juga adalah pudar dan tidak konsisten. Tetapi apabila swafoto dengan mod potret serta swavideo mod potret hasilnya jauh lebih baik dan menarik. Butiran dipelihara dengan bagus sekali, latar belakang kabur dengan baik serta mempunyai warna yang lebih hidup.

Kamera utama Oppo Reno6 Pro ini hebat. Tetapi entah kenapa saya rasakan pengalaman pada Oppo Reno5 Pro adalah lebih baik. Peranti yang lebih baru ini terasa mempunyai naik taraf yang terlampau kecil sahaja, sedangkan di atas kertas kamera yang baru patut lebih baik. Selepas saya rujuk ulasan lepas, saya putuskan AI pada Oppo Reno6 Pro ada masalah sama seperti AI pada MIUI 12 dengan hasil yang tidak menentu.

Apa saya buat adalah paksa hidup HDR dan mati/hidupkan AI barulah ia boleh mengambil gambar dengan kualiti yang lebih baik. Kamera utama 50MP mampu memberikan hasil yang cukup sedap mata memandang. Namun dari segi butiran dan bokeh semula jadi, 50MP pada Mi 11 Ultra jauh lebih baik.

Hasil sudut lebar dengan mod membaiki kesan herotan dilihat mempunyai hasil yang lebih memuaskan. Dengan saiz sensor 16MP berbanding 8MP dapat memberikan hasil yang lebih cantik dengan warna juga lebih nyata. Mod zum 2x optikal masih boleh menjanjikan hasil yang baik, 5x hibrid juga dilihat masih elok lagi. Tetapi atas daripada itu ia sudah menjadi kabur.

Mod potret pada kamera utama adalah memuaskan dan menakjubkan. AI Oppo sememangnya hebat sekali. Kesan kabur yang lebih kemas, pasca proses yang lebih pantas, penawaran penuras yang cukup kreatif. Cuma mod potret untuk video pada peranti ini terhad untuk seorang atau satu subjek sahaja untuk hasil yang memberangsangkan.

Sebelum saya teruskan lagi dalam video, saya akan sambung bahagian fotografi dengan mod malam. Sejak Oppo Reno5 Pro mod malam pada peranti Oppo dalam siri Reno yang lebih premium ini mempunyai hasil yang semakin baik. Ia bukan sekadar mencerahkan gambar dengan menambah penuras, tetapi benar-benar mengenalpasti situasi dan suasana untuk memberikan hasil yang lebih menawan. Ini adalah sampel menggunakan mod malam melalui kecerdasan buatan.

Akhir sekali, mod 50MP atau mod ekstra HD dilihat cuba memberikan hasil terbaik dengan butiran terbaik. 50MP dilihat cukup membantu, tetapi mod ekstra HD seakan gimik kerana hampir tiada beza.

Untuk hasil rakaman video, sedikit sukar untuk dapatkan hasil yang menarik kerana pergerakan yang terhad. Tetapi hasil video Oppo Reno6 Pro ini dilihat masih ada banyak peluang untuk menjadi lebih baik. Ia tidak sehebat pada Find X3 Pro, tetapi untuk siri Reno ia selangkah bersaing sengit dengan Vivo. Oppo hanya perlu kerjasama dengan syarikat kamera untuk hadir dengan profil warna yang lebih baik. Vivo sudah buktikan ia strategi yang baik.

Audio

Oppo menggunakan pembesar suara stereo jenis Ultra-Linear dan dengan rekaan skrin bezel nipis berserta skrin melengkung, audio yang dilontarkan merebak ke sekeliling peranti untuk memberikan satu pengalaman imersif. Kemudian pembesar suara peranti ini dioptimasikan oleh Dolby Atmos. Mendengar muzik pada Tidal HiFi dan Spotify tetapan tinggi adalah sangat enak dan memuaskan. Ia mempunyai dentuman bass yang baik, mids dan highs yang setanding peranti mercu serta mempunyai aras suara yang cukup kuat, konsisten dan mengasyikkan.

Sayang sekali aplikasi Apple Music pada peranti ini tidak dapat mengaktifkan ciri Dolby Atmos seperti yang boleh dilakukan pada peranti Poco X3 GT.

Walau bagaimanapun, kesan surround melalui mod kecerdasan buatan yang terbina dalam Color OS dapat diaktifkan jika menggunakan aksesori audio. Oppo cuba memberikan pengalaman Dolby Atmos pada mana-mana aksesori audio Bluetooth melalui Color OS mereka. Ia adalah seakan Huawei Histen yang cuba mimik pelbagai pengalaman pendengaran..

Bateri

Walaupun bateri Reno6 Pro adalah 4500mAh dan Reno5 Pro adalah 4350, iaitu 150mAh lebih besar tiada beza pun dari segi ketahanan. Penggunaan ringan tidak menjadi masalah mencapai 7-9 jam SOT dengan ketahanan sekitar 5-6 jam penggunaan ekstrem. Kuasa pengecasan juga masih sama iaitu 65W dengan teknologi SuperVOOC 2.0.

Oppo menjanjikan 31 minit pengecasan penuh dan 5 minit pengecasan boleh menjamin video boleh dimainkan mencapai 4 jam. Tidak ada beza pun dengan yang lalu, mungkin kita perlu nantikan inovasi lain seperti MagVOOC seakan MagDart akan datang untuk lihat beza dan perkara lebih menarik.

Pesaing

Oppo Reno6 ProVivo X60 ProPoco F3
6.5″ AMOLED, FHD+
90Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass 5
6.56″ AMOLED, FHD+
120Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass 5
6.67″ AMOLED, FHD+
120Hz, HDR10+
Corning Gorilla Glass 5
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650Adreno 650Adreno 650
12GB RAM + 7GB Maya12GB RAM + 3GB Maya8GB
256GB UFS 3.1256GB UFS 3.1256GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+16+13+2 Megapixel,
(f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+13+13 Megapixel
(f/1.79+f/2.2+f/2.46)
Kamera Utama
48+8+5 Megapixel,
(f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel,
(f/2.4)
Kamera Hadapan
32 Megapixel,
(f/2.5)
Kamera Hadapan
20 Megapixel,
(f/2.5)
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Tiada Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Tiada Pemancar infra merahTiada pemancar infra merahAda Pemancar infra merah
4500 mAh (Berwayar 65W)4300 mAh (Berwayar 33W)4520 mAh (Berwayar 33W)
RM2,999RM3,299RM1,699

Kesimpulan

Dari segi rekaan memang seakan tiada beza, tetapi perubahan spesifikasi dalaman ini sangat memainkan peranan. Ia mengubah pengalaman penggunaan secara drastik. Skrin juga mungkin tiada beza seperti rekaan, saiz peranti, rekaan melengkung, sokongan 90Hz dan lain-lain lagi. Tetapi Color OS 11.3 memberikan satu boost untuk pengalaman penggunaan yang sedikit lebih baik.

Prestasi juga berbanding Reno5 Pro lebih 2x ganda lebih pantas. Penambahan RAM maya walaupun sedikit peratusan dalam perubahan, yang penting penggunaan di masa nyata adalah baik dan tidak bermasalah. Audio pada peranti ini juga sungguh mengasyikkan dan kualiti kamera yang sedikit lebih baik. Harapnya masalah AI ini dapat diperbaiki dalam Color OS 12 atau kemaskini akan datang. Motor getaran perandi yang berada di next level ini juga cukup membuatkan saya hampir jatuh cinta kepada peranti ini.

Harga jualan RM2,999 pada hemat saya agak mahal. Satu usaha yang baik dalam cuba memberikan pengalaman mengampiri sebuah peranti mercu lebih RM3 ribu. Untuk prestasi dan tiada isu panas ketika fotografi dan permua mungkin berbaloi kerana 19GB RAM dan SD870 yang membantu. Tetapi untuk penggunaan seimbang saya rasakan Mi 11 masih lagi antara yang terbaik walaupun hanya 8GB RAM.


Pro

  • Prestasi yang gila pantas dan lancar
  • Kemampuan kamera yang semakin hebat
  • Sistem audio dengan kualiti yang mengasyikkan
  • Motor getaran yang gila hebat dan cool

Kontra

  • Bateri yang biasa-biasa sahaja
  • Rekaan yang bosan dan tiada faktor WOW
  • Color OS 11.3 dengan kecerdasan buatan yang tidak konsisten
  • Harga jualan yang agak mahal
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd