Pada hari ini, mungkin ramai yang tidak melihat mahupun membuka manual pengguna yang hadir bersama peralatan elektronik. Walaupun ia kelihatan umpama tiada nilai pada hari ini, tetapi penambahan tanda tangan seseorang orang ternama pada sesuatu manual pengguna, membuatkannya menjadi eksklusif, dan nilainya mencapai jutaan ringgit.
Terbaru, sebuah manual pengguna Apple II yang telah ditanda-tangani oleh Steve Jobs, dilihat telah dilelong pada harga $787,484, iaitu sekitar RM3.3 juta mengikut kadar tukaran semasa.

Manual pengguna berkenaan ditanda-tangan dan ditujukan kepada Julian Brewer, anak kepada Michael Brewer yang telah membincangkan hak pengedaran Apple di UK sekitar 1979 yang lepas.
Ini bukan kali pertama barangan nostalgia Apple, atau yang berkait dengan Steve Jobs telah dilelong tinggi. Sebelum ini, beberapa barangan lain turut telah dilelong, termasuk iklan Apple-1 tulisan tangan Steve Jobs, dan juga kasut sukan Apple.