Carian
Spotify Melancarkan Ciri Langganan Podsiar Berbayar
August 25, 2021 Effi Saharudin

Podsiar boleh distrim di Spotify secara percuma pada waktu dengan ribuan topik boleh didengari pada bila-bila masa. Tetapi bagi penerbit podsiar, penawaran percuma ini tidak menjana pendapatan yang tinggi. Spotify hari ini mengumumkan ciri Podcast Subscriptions yang membenarkan penerbit podsiar mengenakan bayaran untuk langganan kepada kandungan yang diterbitkan mereka.

Penerbit podsiar boleh memilih 20 jenis tahap langganan yang ingin dikenakan bermula dari $0.49 sebulan. Selain itu penerbit dapat mengakses senarai emel pelanggan untuk meningkatkan lagi interaksi antara mereka dan pendengar.

Kesemua kutipan langganan Podcast Subscriptions akan diterima oleh penerbit sehingga 2025. Selepas 2025, Spotify akan hanya mengambil 5% dari kutipan langganan. Pada waktu ini Podcast Subscriptions hanya dibuka kepada penerbit di Amerika Syarikat sahaja terlebih dahulu. Dengan pengumuman ini Spotify akhirnya menawarkan cabaran kepada Apple Podcasts Subscriptions yang ditawarkan sejak 15 Jun lalu.

Komen