Audio Technica ATH-S220BT Diumumkan Dengan Bateri Sehingga 60 Jam

Diterbitkan pada Ogos 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Audio-Technica ATH-M50xBT2 dilancarkan pada minggu lalu dengan bateri yang bertahan selama 50 jam dan harga jualan yang agak premium. Bagi mereka yang mencari fon kepala nirwayar yang bertahan lebih lama dan harga lebih mampu milik, Audio Technica ATH-S220BT baru sahaja diumumkan.

Fon kepala bluetooth ini menawarkan tempoh operasi sehingga 60 jam dengan sekali caj. Ini dapat dicapai kerana ia tidak dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif ANC. Selain sambungan bluetooth, ia turut boleh digunakan secara berwayar dengan sabungan kabel audio 3.5mm. Kesemua butang kawalan fizikal diletakkan pada cawan telinga dengan port pengecasan pula adalah USB-C. Sepasang pemandu audio 40mm digunakan dengan berat keseluruhan fon kepala hanya 150 gram.

Terdapat sokongan untuk menyeru pembantu maya Google Assistant dan Siri apabila ditambat kepada peranti pintar. Pada waktu yang sama fon kepala ini boleh ditambat kepada dua peranti serentak bagi memudahkan mereka yang menggunakan multi peranti. Kepada pengguna Android, sistem Google Fast Pair boleh digunakan untuk tambatan pantas. Mikrofon yang terbina pula membenarkan ia digunakan untuk perbualan telefon atau sesi telesidang. Di Amerika Syarikat Audio Technica ATH-S220BT dijual pada harga $59 (~RM247).

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami