Samsung Galaxy S21 FE Tersenarai Di Google Play Console – Pelancaran Semakin Hampir?

Diterbitkan pada Ogos 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung Galaxy FE adalah siri peranti mercu mampu milik daripada Samsung. Ia mula diperkenalkan dengan Samsung Galaxy Note FE, iaitu iterasi baharu kepada Galaxy Note 7 yang bermasalah. Siri FE ini diteruskan pada Galaxy S20 FE, iaitu versi lebih mampu milik Galaxy S20. Pengganti peranti ini adalah Galaxy S21 FE, versi murah kepada Galaxy S21 yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Peranti ini sudah pun disahkan akan dijana dengan cip Snapdragon 888 dan dikatakan akan dilancarkan sekitar Oktober akan datang. Awal bulan ini juga, Samsung sendiri telah meniriskan kewujudan peranti ini memperlihatkan rekaan belakangnya.

Terkini, peranti ini telah disenaraikan di Google Play Console dan daripada apa yang dapat saya lihat di laman web ini – ia menyenaraikan Qualcomm SM8350 sebagai cip pemprosesan, yang mana adalah kod nama bagi Snapdragon 888. Selain itu, memori yang digunakan adalah 6GB RAM, mempunyai skrin dengan resolusi 1080 x 2009 FHD+ dan menjalankan sistem operasi Android 11 – mungkin One UI 3 yang terkini.

Spesifikasi lain bagi peranti ini masih menjadi misteri, begitu juga dengan penjualannya yang dikhabarkan akan terhad di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah sahaja. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai peranti ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami