Tablet Pertama Oppo Tertiris – Menjalankan Color OS For Pad

Diterbitkan pada Ogos 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo tahun ini dikatakan akan melancarkan tablet pertama mereka. Tetapi sebarang informasi mengenai peranti ini masih lagi dirahsiakan dan tidak banyak yang kita tahu. Sehinggalah baru-baru ini peniris terkenal Digital Chat Station mendedahkan imej pengolokan peranti ini.

Tablet pertama Oppo dikatakan menggunakan skrin rata dan mempunyai sedikit persamaan dengan rekaan tablet Huawei MatePad Pro 12.6, seperti kedudukan kamera swafoto dan sokongan skrin kadar segar semula. Walaupun spesifikasi tablet ini tidak didedahkan lagi, sumber menyatakan ia akan menjalankan sistem operasi serba baharu yang dinamakan sebagai Color OS For Pad.

Color OS For Pad ini dikatakan adalah berasaskan Color OS 12. Color OS 12 dikhabarkan sebelum ini akan menyertakan beberapa ciri daripada Hydrogen OS yang digunakan oleh peranti OnePlus di China sebelum beralih kepada Color OS For OnePlus. Sistem operasi ini juga dikatakan akan mempunyai sokongan mod desktop seakan Huawei, termasuk dengan ciri dan fungsi mirip Huawei Multi Screen Collaboration seperti pemindahan fail pantas, penyelarian SMS dan foto daripada telefon ke tablet atau juga papan klip.

Ciri ini dikatakan akan diberi nama sebagai Color OS Cross-Screen Interconnection. Color OS 12 menurut Gizmochina akan dilancarkan pada 13 September akan datang. Informasi ini diperoleh daripada Breeno, iaitu pembantu digital Oppo di China. Tetapi Oppo telah mengemaskini jawapan Breeno ini kepada “akan datang”. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan pelancaran Color OS 12 nanti dan lihat adakah Oppo akan melancarkan sekali tablet pertama mereka ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami