OnePlus mula melalui satu perubahan drastik selepas Carl Pei keluar daripada syarikat dan Pete Lau menguruskan OnePlus, Oppo dan Realme. Kini OnePlus telah bergabung dengan Oppo dan memo tertiris mengesahkan jenama ini adalah sub-jenama kepada Oppo.
Walaupun Pete Lau menyatakan peranti OnePlus akan kekal dengan Oxygen OS dan tidak menggunakan ColorOS, ini tidak bermakna pelancar, akan diubah mengikut ColorOS. OxygenOS mungkin hanya nama untuk peranti OnePlus versi global. Aplikasi pemindahan data OnePlus Switch baru-baru ini turut dikemaskini kepada OnePlus Phone Clone mirip aplikasi Oppo Phone Clone.
Terkini peniris terkenal Digital Chat Station, mendakwa ColorOS 12 akan dilancarkan tidak lama lagi. Sistem operasi ini akan dibina berasaskan Android 12 dan menggunakan antaramuka mirip HydrogenOS. HydrogenOS adalah sistem operasi yang sama dengan OxygenOS untuk pasaran China, cuma ia tiada GMS dan penuh dengan aplikasi gendut untuk pengguna China.
Tambahan peniris ini lagi, antaramuka ColorOS juga akan diubah secara drastik dan merupakan perubahan besar untuk sistem operasi Oppo ini. Di China, peranti OnePlus telah menjalankan sistem operasi ColorOS For OnePlus. Nampaknya ColorOS di China akan menjadi sistem lalai untuk OnePlus dan ColorOS baharu dengan rekaan HydrogenOS akan menjadi rasmi untuk peranti Oppo. Masih tidak tahu sama ada ColorOS for OnePlus akan menerima perubahan yang sama atau tidak. Sama-sama kita nantika.