Cari @ Amanz

Huawei nampaknya dalam diam telah mengumumkan kemaskini versi terbaru sistem operasi berasaskan Android untuk telefon pintar keluaran mereka menerusi pengenalan EMUI 12. Dapat dilihat, antaramuka telah direka semula, seterusnya menjadikan ia mempunyai tampilan yang lebih kemas, cantik dan ceria. Di samping itu, ia turut disertakan dengan sejumlah ciri baharu yang dipertingkatkan bagi penggunaan keseluruhan yang lebih baik.

Seperti yang dikatakan tadi, EMUI 12 dilengkapi antaramuka yang direka semula. Di sini, ia nampak lebih minimalis dan sangat mirip dengan HarmonyOS 2.0. Selain itu, rekaan ikon juga kini lebih membulat dengan elemen warna cerun bersama tiga format warna utama iaitu putih, hitam dan biru. Katanya, warna-warna ini mampu memberikan penampilan antaramuka yang lebih bersih berbanding versi terdahulu.

Seterusnya, Huawei juga turut menampilkan konsep baru pada animasinya yang diinspirasi daripada  objek-objek samawi yang bergerak di alam semesta. Bukan itu sahaja, kemaskini baharu ini turut membolehkan pengguna menyesuaikan saiz dan ketebalan font pada slider untuk pengalaman tontonan yang lebih baik dan selesa.

Di samping itu, EMUI 12 juga mempunyai panel kawalan serba baru yang membolehkan pengguna mengaksesnya dengan mudah dengan cara manatal dari mana-mana skrin. Melalui panel kawalan ini, pelbagai akses pintas untuk tetapan seperti lokasi, data, wi-fi, bluetooth dan lain-lain kini menjadi lebih mudah.

Kemudian terdapat juga  ciri baharu dikenali Device+ / Smart Collaboration untuk sambungan atau tambatan pantas antara peranti-peranti Huawei. Ini termasuklah tablet, komputer riba dan sebagainya. Terdapat juga ciri sekaan MIUI di mana, talam notifikasinya kini telah diasingkan daripada panel kawalan.

Ciri MeeTime juga kini lebih mudah, di mana ia  menyokong integrasi  pemindahan berbilang peranti yang membolehkan panggilan video beralih di antara peranti Huawei dengan lebih mudah. Misalnya, panggilan video daripada telefon pintar ke televisyen. Ia bagaimanapun, terhad untuk beberapa negara sahaja.

EMUI 12 dilengkapi sistem baharu dinamakan Distributed File System. Di mana, ia mampu menyediakan akses pantas untuk proses pemindahan sebarang fail seperti foto atau dokumen dari telefon pintar ke komputer riba. Menurut Huawei, konsepnya adalah sama seperti proses pemindahan fail segera tanpa sebarang kabel.

Tidak ketinggalan, EMUI 12 juga menerima perlindungan keselamatan yang dipertingkatkan. Pengguna boleh menyahkuci telefon pintar terus daripada komputer riba apabila sambungan atau tambatan pantas dibuat antara peranti. Bukan itu sahaja, ciri ini turut boleh digunakan pada jam tangan pintar.

EMUI 12 Nova 8

Ternyata, EMUI 12 mempunyai pelbagai penambahbaikan untuk pengalaman pengguan yang lebih lancar. Buat masa ini, Huawei masih belum mengumumkan senarai penuh peranti-peranti yang bakal menerima kemaskini antaramuka ini. Setakat ini, Huawei Nova 8 merupakan antara peranti yang menyokongnya dan telefon ini juga telah tersedia di Malaysia dengan tanda harga RM1,899.

Sumber : EMUI 12 Global

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd