Carian
Toyota Menggantung Perkhidmatan Bas Swapandu Selepas Ia Melanggar Atlet Paralimpik
August 28, 2021 Effi Saharudin

Di perkampungan sukan Olimpik dan Paralimpik tahun ini, Toyota menggunakan bas elektrik swapandu e-Palette untuk membawa atlet dan petugas ke lokasi yang diperlukan. Ia adalah sebahagian daripada armada 3700 kenderaan elektrik dan hibrid yang digunakan bagi menjadikan acara sukan ini lebih lestari. Tetapi semalam perkhidmatannya dihentikan selepas berlaku kemalangan melibatkan seorang atlet paralimpik di perkampungan sukan.

Dalam insiden tersebut, bas swapandu terlanggar atlet OKU penglihatan ketika dikawal oleh seorang pemandu secara manual. Atlet tidak mengalami sebarang kecederaan teruk kerana dirempuh pada kelajuan sekitar 2 km/j sahaja. Atlet tersebut dilaporkan mendapatkan rawatan di perkampungan sukan sebelum kembali ke bilik dengan berjalan kaki tanpa masalah.

Sungguhpun kemalangan yang berlaku tidak serius, Toyota mengambil langkah drastik menggantung kesemua perkhidmatan e-Palette bagi menjalankan siasatan. e-Palette dilancarkan dengan kemampuan swapandu Tahap-4 pada kelajuan rendah dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Sumber Reuters

Komen