Infinix Hot 10S telah diperkenalkan secara rasmi di India sekitar Mei yang lalu. Dapat dilihat ia didatangkan dengan penawaran yang menguntungkan nilai mata wang pengguna. Ia kemudiannya ditawarkan di Malaysia dan dijual pada harga bermula RM499. Ini sekaligus menjadinya antara pencabar baru untuk segmen telefon pintar murah di pasaran tempatan.
Dalam perkembangan terkini, terdapat laporan yang mendakwa Infinix dalam perancangan untuk pengenalan penggantinya tidak lama lagi. Ura-ura mengatakan ia mungkin akan dilancarkan sebagai Infinix Hot 11S kelak dan dijangka diperkenalkan sekitar pertengahan September ini. Buat masa ini, masih tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasi utama pada Infinix Hot 11S.
Pun begitu, telefon pintar ini dikhabarkan menggunakan cip yang sama dengan Redmi 10 iaitu cip MediaTek Helio G88. Seterusnya, ia juga mungkin dibekalkan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman 64GB. Telefon pintar ini turut dijangka dijual dengan julat harga bermula sekitar INR9,999 (~RM567).
Setakat ini, masih belum ada sebarang perincian lanjut mengenai telefon pintar ini. Tambahan pula, pihak Infinix sendiri juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung telefon pintar ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura.
Sumber : GSMARENA