Apa yang ditakuti Google dan Apple kini menjadi realiti di Korea Selatan. Perhimpunan Kebangsaan Republik Korea telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan pembangun untuk memintas sistem pembayaran yang dikenakan oleh Google dan Apple pada stor aplikasi mereka. Dengan ini pembangun boleh mengelakkan potongan sehingga 30% yang dikenakan Play Store dan App Store pada setiap transaksi yang dilakukan.

Sekiranya Google dan Apple enggan membenarkan sistem pembayaran alternatif, mereka boleh didenda sehingga 3% pendapatan yang dikutip di Korea Selatan. Pindaan akan dilakukan pada Akta Perniagaan Telekomunikasi Korea Selatan dan hanya menanti ditandatangani oleh President Moon Jae-in yang merupakan antara penyokong RUU ini.
Google dan Apple kedua-duanya berhadapan saman dari Epic Games selepas aplikasi mereka seperti Fortnite dibuang dari stor aplikasi kerana berani menawarkan sistem pembelian dalam aplikasi (IAP) tersendiri yang lebih murah kepada pengguna.
Apple telahpun melakukan perubahan pada App Store minggu lalu yang membenarkan pembangun dari Amerika Syarikat menghubungi pelanggan bagi menawarkan sistem pembayaran alternatif dan menubuhkan Dana Bantuan Pembangun Kecil berjumlah $100 juta bagi menyelesaikan saman kelompok pembangun yang tidak berpuas hati dengan sistem IAP Apple.
Sumber WSJ