Malam tadi Jabra telah melancarkan beberapa set fon telinga nirwayar sebenar (TWS) mereka, iaitu Jabra Elite 3, Jabra Elite 7 Active dan Jabra Elite 7 Pro. Jabra menawarkan pilihan daripada yang mampu milik, khusus untuk sukan dan juga variasi paling Pro untuk bersaing dengan Sony, Apple dan lain-lain lagi.
Model paling mercu adalah Jabra Elite 7 Pro, yang mana kali ini hadir dengan saiz yang lebih kecil daripada model lalu – Elite 85T. Sokongan ANC masih disertakan, begitu juga mod yang menembus bunyi menggunakan teknologi HearThrough keluaran mereka. Model ini akan dijual di Malaysia pada tanda harga RM999.
Tahun lalu semasa Elite 85T dilancarkan, tiada model Active. Tetapi kali ini ia kembali menerusi Jabra Elite 7 Active, ia adalah versi bersukan yang kalis air dan juga mempunyai kemasan ShakeGrip lebih kasar bagi memastikan ia kemas di dalam telinga ketika dipakai. Ia adalah sama seperti Elite 7 Pro dengan kesemua ciri seperti ANC, mod tembus bunyi dan sokongan tambatan kepada dua peranti serentak. Model ini akan dijual pada harga RM899 iaitu seratus lebih murah.
Model mampu milik pertama adalah Jabra Elite 3, yang mana ia tidak mempunyai sokongan pembatalan hingar aktif. Tetapi dengan sekali caj ia boleh beroperasi sehingga 7 jam atau sehingga 28 jam dengan pod pengecas. Ia turut kalis air melepasi piawaian IP55 dan akan dijual pada harga RM389.
Model satu lagi adalah Jabra Elite 2 iaitu yang paling murah daripada semua yang dilancarkan baru-baru ini. Ia hadir dalam saiz paling kecil, menggunakan pemacu audio bersaiz 6mm tetapi masih memfokuskan dentuman bass yang kuat dan bertenaga. Ia turut dijana dengan cip Qualcomm untuk menyokong audio Qualcomm aptX HD, menyokong Google Fast Pair, perlindungan IP55 dan bateri sehingga 7 jam. Harga jualan adalah RM299.
Jabra Elite 3 dengan pilihan warna Light Beige, Dark Grey, Lilac dan Navy bersama-sama dengan Jabra Elite 2 yang ada pilihan warna akan dijual bermula bulan September ini. Manakala, Jabra Elite 7 Pro dengan pilihan warna Gold Beige, Black dan Titanium Black serta Elite 7 Active dengan pilihan warna Mint, Black dan Navy akan dijual sekitar Oktober kelak.
Jualan adalah di Lazada dan juga Shopee rasmi Jabra Malaysia.