Adakah anda merasakan ciapan anda bernilai dan boleh dikenakan bayaran. Sekiranya ya ciri Super Follows yang akan diperkenalkan oleh Twitter pastinya akan menarik perhatian anda. Ciri ini telah mula diuji oleh sebilangan pengguna iOS di Amerika Syarikat. Menerusinya pemilik akaun boleh menawarkan kandungan eksklusif pada pengikut dengan bayaran $2.99, $4.99, atau $9.99 sebulan. Kerana masih di tahap ujian, hanya pengguna dari Amerika Syarikat dan Kanada sahaja boleh melakukan langganan pada waktu ini.

Hanya pengikut berbayar boleh melihat ciapan tertentu oleh pemilik akaun. Pada waktu yang sama hanya pengikut berbayar boleh membalas ciapan yang dihantar mewujudkan ruang interaksi eksklusif.Twitter hanya membenarkan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut, berusia 18 tahun ke atas dan tidak pernah melanggar terma dan syarat laman menggunakan ciri langganan ini.

Pada peringkat awal Twitter akan mengambil 3% kutipan bersih selepas potongan diambil oleh Apple dan Google. Tetapi sekiranya pengguna menjana lebih daripada $50,000 potongan sebanyak 20% pula akan diambil.
Kemampuan menjana pendapatan ialah sebab mengapa Facebook, YouTube dan Instagram popular. Mungkin selepas ini Twitter boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan dan bukannya menyebabkan pengguna didenda RM10,000 kerana menghantar ciapan yang jelik.