Cari @ Amanz

Rumah dengan laman memerlukan rumput dipotong selang sebulan sekali seperti rambut manusia. Laman yang tidak dijaga menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan berbisa seperti ular. Bagi mereka yang tidak gemar melakukan kerja laman, Segway-Ninebot telah melancarkan Segway Navimow yang merupakan robot yang memotong rumput.

Segway Navimow memetakan kawasan laman rumah sebelum melakukan pemotongan yang tepat secara automatik mengikut arahan yang diberikan oleh pemilik. Bagi memastikan ketepatan, Navimow menggunakan isyarat GPS dan sistem navigasi berasaskan inertia. Hasilnya ialah peta yang tepat sehingga 2 cm tanpa memerlukan pemancar fizikal yang digunakan oleh Roomba Terra. Sistem GPS yang sama berfungsi sebagai sistem anti kecurian kerana robot boleh dijejak sepanjang masa.

Sistem ultrasonik pula membezakan objek yang dipotong supaya ia boleh mengelak melanggar haiwan peliharaan atau pemilik yang mungkin sedang santai di laman. Kesemua kawalan boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar. Kerana ia beroperasi di luar sepanjang masa, Navimow melepasi piawaian IPX6 yang membolehkan ia dibasuh pasca penggunaan.

Menurut Segway-Ninebot, Navinow juga adalah robot pemotong rumput yang senyap kerana beroperasi pada tahap bunyi 54 dB yang lebih rendah dari purata 60 dB oleh mesin pemotong rumput biasa. Empat model dihasilkan iaitu Segway Navimow H500E, H800E, H1500E, dan H3000E dengan kemampuan memotong kawasan seluas 500-3000 meter persegi.

Segwa Navimov akan mula dijual tahun hadapan pada harga bermula dari €1,199 (~RM5908) dan meningkat ke €2,499 (~RM12313) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd