Carian
Oppo Mengacah Kehadiran Color OS 12 – Perubahan Drastik Pada Antaramuka Akan Diperlihatkan
September 6, 2021 Fahim Zahar

Sistem operasi yang dijalankan pada peranti Oppo adalah Color OS. Color OS juga adalah asas kepada Oxygen OS dan juga Realme UI. Versi terkini yang akan dilancarkan adalah Color OS 12 yang dijangka dibina berasaskan Android 12.

Melalui laman Weibo di China, Oppo telah mengacah kehadiran sistem operasi baharu ini. Menurut mereka, informasi lanjut akan didedahkan esok. Berdasarkan imej yang dikongsi, akan terdapat perubahan drastik pada antaramuka Color OS 12. Berbanding Color OS 11 yang masih lagi ada iras Color OS 10.

Antara informasi yang sudah tertiris mengenai sistem operasi ini adalah, Oppo dikatakan akan menggunakan elemen daripada Hydrogen OS yang digunakan oleh OnePlus serta meminjam beberapa elemen Flyme OS daripada Meizu dan MIUI daripada Xiaomi.

Selain itu, ekosistem seakan MIUI+ (di China) dan Huawei PC Manager turut akan ditawarkan agar pengguna peranti Oppo lebih mudah menggunakan peranti Android mereka bersama-sama dengan komputer Windows dengan lebih produktif.

Oppo juga dijangka akan memperkenalkan Color OS for Pad untuk digunakan pada tablet mereka. Berdasarkan laporan sebelum ini, Color OS 12 mungkin akan diperkenalkan pada 13 September pada 3 petang. Sama-sama kita nantikan esok dan lihat apakah maklumat yang akan dikongsi oleh Oppo.

Komen